Kagan bangga dengan pertumbuhan perdagangan AS-Malaysia

Kagan bangga dengan pertumbuhan perdagangan AS-Malaysia

Edgard D Kagan yang bakal menamatkan tugas sebagai duta AS berkata hubungan dagangan dua negara itu semakin kukuh.

Edgard D Kagan
Edgard D Kagan percaya perjanjian perdagangan antara AS dan Malaysia yang dimeterai pada Oktober tahun lalu akan terus mengukuhkan hubungan dua hala kedua-dua negara. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Duta Amerika Syarikat ke Malaysia yang bakal menamatkan perkhidmatannya, Edgard D Kagan, berkata beliau berbangga kerana perdagangan antara Malaysia dan negaranya mencatat pertumbuhan ketara sepanjang tempohnya bertugas di sini.

Kagan berkata eksport Malaysia ke AS meningkat kira-kira 14% dalam tempoh 11 tahun lalu.

Menurutnya, eksport AS ke Malaysia pula meningkat sekitar 7%.

“Saya fikir ini menunjukkan hubungan perdagangan antara kedua-dua negara berada pada tahap yang kukuh.

“Dan saya percaya ART akan terus mengukuhkannya,” katanya, merujuk kepada perjanjian perdagangan antara AS dan Malaysia yang dimeterai pada Oktober tahun lalu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis perpisahannya di sini.

Kagan berkhidmat sebagai duta sejak 2023. Secara keseluruhan, beliau telah tinggal lebih lima tahun di Malaysia, termasuk ketika berkhidmat sebagai timbalan duta dari 2014 hingga 2017.

Pada Disember lalu, FMT melaporkan Kagan akan menamatkan tempoh perkhidmatannya pada Februari dan bersara daripada perkhidmatan diplomatik AS.

Difahamkan, peletakan jawatannya sebagai duta adalah susulan keputusannya menerima jawatan di luar kerajaan AS.

Hari ini, Kagan berkata beliau akan berkhidmat dengan sebuah badan pemikir di Washington.

Mengulas lanjut hubungan Malaysia-AS, Kagan berkata kedua-dua negara mempunyai banyak persamaan, termasuk kepelbagaian masyarakat.

Beliau berkata walaupun hubungan dua hala itu pernah melalui pasang surut namun katannya: “ia sangat berkesan apabila kami bekerjasama”, sambil merujuk peranan bersama dalam perjanjian damai Cambodia-Thailand sebagai contoh.

Apabila ditanya perkara yang paling akan dirinduinya tentang Malaysia, Kagan menjawab: “Rakyat Malaysia.”

“Rakyat Malaysia sangat mesra dan baik.

“Terdapat dinamika yang luar biasa dan kepelbagaian yang sangat kaya.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.