Analisis kos-manfaat perjanjian ART sedang dijalankan, kata Johari

Analisis kos-manfaat perjanjian ART sedang dijalankan, kata Johari

Menteri pelaburan, perdagangan dan industri itu berkata ia akan memberi tumpuan kepada kesan perjanjian itu terhadap eksport Malaysia ke Amerika Syarikat.

johari ghani
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Johari Ghani berkata Malaysia masih belum menerima notis rasmi daripada AS mengenai garis masa untuk memuktamadkan ratifikasi Perjanjian Perdagangan Timbal Balas Malaysia-AS. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri sedang menjalankan analisis kos-manfaat terhadap Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-Amerika Syarikat yang dimeterai tahun lalu, kata Menterinya Johari Ghani kepada Dewan Rakyat hari ini.

Johari berkata Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) membantu kementerian itu dalam melaksanakan analisis berkenaan.

“Fokus khusus akan diberikan kepada impak perjanjian ini terhadap eksport negara ke AS yang bernilai RM233.1 bilion, dengan lebihan dagangan sebanyak RM98.7 bilion,” katanya.

Johari berkata demikian ketika menjawab soalan Radzi Jidin (PN-Putrajaya) yang bertanya sama ada Putrajaya akan menjalankan analisis kos-manfaat secara terperinci terhadap perjanjian perdagangan itu sebelum meratifikasikannya, serta agensi-agensi yang akan terlibat dalam analisis tersebut.

Radzi turut bertanya sama ada kerajaan boleh merunding semula klausa dalam perjanjian berkenaan dan apakah kesan sekiranya perjanjian perdagangan itu dibatalkan.

Johari berkata analisis terperinci itu dijangka mengambil masa antara enam hingga 12 bula, dan Malaysia juga masih belum menerima notis rasmi daripada AS mengenai garis masa untuk memuktamadkan ratifikasi perjanjian perdagangan tersebut.

“Oleh itu, kerajaan sedang meneliti ART bagi memastikan kepentingan ekonomi negara terpelihara serta mengurangkan risiko terhadap aktiviti perdagangan negara,” katanya.

Pengkritik perjanjian itu sebelum ini menggesa agar ia dikaji semula, dengan mendakwa bahawa ia akan menjejaskan kedaulatan ekonomi negara kerana memaksa Putrajaya mematuhi peraturan dan undang-undang Washington berkaitan perdagangan dan pelaburan.

Bekas Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata semakan terhadap perjanjian itu perlu merangkumi penilaian kesan ekonomi dan sosial secara bab demi bab, termasuk pertambahan dan kehilangan pekerjaan, kesan terhadap harga ubat-ubatan dan kos penjagaan kesihatan, implikasi kepada perniagaan Bumiputera dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), serta industri halal.

Beliau berkata kajian tersebut mesti menilai kehilangan hasil tarif, kesan pengagihan merentasi sektor dan kumpulan, serta sebarang perubahan undang-undang dan peraturan domestik yang diperlukan, termasuk penyelarasan dengan undang-undang dan piawaian AS.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.