Kemalangan 2 motosikal, seorang dikhuatiri lemas jatuh saluran air laut

Kemalangan 2 motosikal, seorang dikhuatiri lemas jatuh saluran air laut

Kejadian kemalangan berlaku di Jalan Bazar Karat, Johor Bahru, malam tadi.

Usaha mencari giat dilakukan untuk mengesan mangsa yang ke dalam saluran air laut dalam kemalangan di Jalan Bazar Karat, Johor Bahru, malam tadi. (Gambar Freepik)
JOHOR BAHRU:
Seorang individu dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam saluran air laut susulan kemalangan membabitkan dua motosikal di Jalan Bazar Karat, berhampiran Pos Malaysia di sini, malam tadi.

Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 10.49 malam, sebelum jentera pertama tiba di lokasi enam minit kemudian.

“Sebaik Pasukan Keluaran Operasi (PKO) tiba di lokasi, didapati berlaku kemalangan jalan raya membabitkan sebuah motosikal Yamaha dan sebuah lagi motosikal yang belum dikenal pasti nombor pendaftarannya, dipercayai tercampak ke dalam sungai.

“Seorang mangsa disyaki terjatuh ke dalam saluran air laut, manakala tiga lagi mangsa telah dihantar ke hospital sebelum ketibaan pasukan penyelamat,” menurut kenyataan itu hari ini.

Operasi pencarian dilaksanakan di sekitar lokasi sejauh kira-kira 30 meter, termasuk selaman sedalam 12 kaki ke dasar sebanyak tiga kali, namun mangsa masih belum ditemukan.

Motosikal jenis Yamaha berjaya dibawa naik ke darat sebelum operasi ditamatkan pada 1.14 pagi hasil kerjasama dengan pihak polis. Kes diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Operasi itu membabitkan seramai 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin serta BBP Skudai (unit Pasukan Penyelamat Di Air – PPDA), dengan kekuatan logistik merangkumi satu jentera FRT, satu EMRS, tiga RIM dan sebuah Hilux PPDA.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.