Bayi dibuang tanpa pakaian, polis cari pelajar lelaki tingkatan 5

Bayi dibuang tanpa pakaian, polis cari pelajar lelaki tingkatan 5

Remaja perempuan berusia 19 tahun pula dimasukkan ke wad bagi pemeriksaan lanjut.

baby
Ketua Polis Kuala Muda Hanyan Ramlan, berkata bayi lelaki dibuang di tanah berbatu, dekat Taman Cempaka Indah, dekat Sungai Petani.
PETALING JAYA:
Pelajar lelaki tingkatan lima sedang dikesan bagi membantu siasatan kes buang bayi tanpa pakaian di atas tanah berbatu, di bahu jalan di Taman Cempaka Indah, Bukit Selambau, dekat Sungai Petani.

Ketua Polis Kuala Muda Hanyan Ramlan, berkata kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan susulan penemuan bayi lelaki yang ditemukan penduduk, dalam kejadian 9.55 pagi semalam.

Katanya, seorang lagi remaja perempuan berusia 19 tahun kini berada di wad hospital untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Dalam pada itu, Hanyan berkata tangisan kuat bayi berkenaan didengari seorang penduduk yang sedang menjemur pakaian, sebelum dia bertindak mencari di kawasan sekitar.

“Saksi terkejut lalu menjerit apabila melihat seorang bayi lelaki di bahu jalan. Tidak lama kemudian, beberapa jiran keluar rumah dan membantu membawa bayi itu ke kawasan lebih selamat sebelum menghubungi polis,” katanya menurut Bernama.

Menurutnya, siasatan mendapati lokasi penemuan bayi tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV).

Katanya, bayi berkenaan telah dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Sultan Abdul Halim (Hsah) untuk pemeriksaan lanjut.

“Hasil pemeriksaan mendapati bayi berada dalam keadaan sihat, namun mengalami kecederaan calar pada bahagian mata kanan dan sebelah kanan badan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.