Jangan ugut keluar BN masa susah, pesan Zahid

Jangan ugut keluar BN masa susah, pesan Zahid

Pengerusinya Zahid Hamidi berkata Umno tidak akan meninggalkan MCA, MIC dan PBRS untuk memperkukuhkan semula kedudukan BN.

Zahid Hamidi berkata soal untuk keluar BN tidak harus dibangkitkan kelompok dalam komponen yang kini dalam proses pemulihan. (Gambar Bernama)
SUNGAI BULOH:
Ugutan keluar Barisan Nasional (BN) tidak harus dibangkitkan mana-mana kelompok dalam komponen itu yang kini dalam proses pemulihan, kata Pengerusinya Zahid Hamidi.

Presiden Umno itu berkata dalam saat sukar ketika ini, partinya tidak akan meminggirkan MCA, MIC serta Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan akan saling menyokong untuk memperkukuhkan semula kedudukannya.

Menurutnya, BN yang pernah menjadi dominan dalam politik tanah air kini hanya mempunyai 30 kerusi Parlimen dengan Umno (26), MCA (2) manakala MIC dan PBRS masing-masing satu.

“Kita sama-sama susah, InsyaAllah Umno tidak akan meninggalkan MCA, MIC, PBRS atau rakan-rakan Friends Of BN…ini cara kita bekerja.

“Tapi janganlah masa susah nak ugut keluar,” katanya berucap merasmikan Mesyuarat Umno Selayang di Kelab Rahman Putra Malaysia.

Zahid bagaimanapun tidak menamakan kelompok dalam BN yang mengugut untuk keluar itu.

Namun bulan lalu, Ketua MCA Sungai Petani Cheng Joo Choi menggesa parti itu meninggalkan BN dan membina semula dirinya sebagai pembangkang bebas yang memberi tumpuan kepada pengundi Cina.

Cheng bagaimanapun meminta parti itu tidak menyertai Perikatan Nasional (PN).

Sebelum itu, Presiden MCA Wee Ka Siong dipetik berkata keputusan berkait kedudukan parti itu dalam BN atau kerajaan perpaduan akan diputuskan dalam mesyuarat agungnya.

MCA, rakan kongsi Umno dalam gerakan kemerdekaan dan ahli pengasas utama BN, adalah suara utama untuk kepentingan Cina dalam gabungan pimpinan Umno sejak Merdeka. Tetapi parti itu telah melihat pengaruhnya semakin merosot sejak tsunami politik 2008.

Pada pilihan raya 2022, parti itu hanya mewakili dua kerusi Parlimen – Ayer Hitam, dimenangi Wee dan Tanjung Piai, dipegang naib presiden Wee Jeck Seng.

Mengulas gesaan bekas naib presiden MCA Ti Lian Ker supaya parti itu diberi kerusi Melayu pada PRU16, Zahid berkata Umno telah memberikan kerusi Melayu kepada rakan komponen BN sejak sejak sekian lama.

“Di mana kerusi majoriti Melayu kita tak bagi pada MCA? Tanjung Piai bukan kerusi Melayu? Ayer Hitam bukan kerusi Melayu? Semua kerusi Melayu kita bagi pada MCA,” katanya pada sidang media selepas itu.

Beliau berkata situasi sama turut berlaku pada MIC, yang turut diberikan kerusi Melayu untuk ditandingi sebagai tanda menghormati kesetiaan parti komponen BN berkenaan.

“Pegangan itulah yang kita akan kekalkan, begitu juga pada MIC, semua kerusi Melayu kita berikan (sebagai tanda) kepercayaan kepada mereka,” katanya.

Semalam, FMT melaporkan Ti menggesa MCA tidak dipinggirkan pada PRU16, sebaliknya perlu diberikan kerusi majoriti Melayu untuk membuktikan kerelevanannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.