Saya dah buat segalanya untuk selamatkan Hsieh, kata Namewee

Saya dah buat segalanya untuk selamatkan Hsieh, kata Namewee

Penyanyi kontroversi itu berkata, beliau akan sentiasa dibayangi imej detik-detik akhir pempengaruh media sosial Taiwan itu.

Wee Meng Chee Namewee n Hsieh Yu-hsin
Polis sebelum ini berkata, hubungan Namewee dan Iris Hsieh Yu-hsin lebih daripada kawan rapat, malah mempunyai hubungan istimewa.
PETALING JAYA:
Penyanyi kontroversi Namewee menegaskan beliau telah berusaha sedaya-upaya menyelamatkan nyawa pempengaruh media sosial Taiwan Iris Hsieh Yu-hsin, yang ditemukan maut di sebuah hotel di ibu negara bulan lepas.

Menerusi hantaran di Facebook, Namewee, atau nama sebenarnya Wee Meng Chee, meluahkan rasa sedih dan terkejut atas pemergian Hsieh, menambah beliau berasa buntu ‘menyaksikan seseorang menghembuskan nafas terakhir di depan mata’.

“Saya telah buat segalanya untuk selamatkan dia tetapi semuanya sia-sia. Bayangan saat-saat terakhirnya terpahat dalam fikiran saya selamanya,” katanya.

Hsieh, yang digelar peminatnya ‘Nurse Goddess’ kerana penampilan dan latar belakangnya sebagai jururawat, dikatakan bertemu Wee di sebuah hotel bagi membincangkan rakaman sebuah video.

Wee dilaporkan menemukan mangsa tidak bernyawa di dalam tab mandi. Beliau dipercayai individu terakhir bersama mangsa.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus, hubungan Wee dan Hsieh lebih daripada kawan rapat, malah mempunyai hubungan istimewa.

Kes Hsieh diklasifikasikan sebagai kes bunuh, namun Peguam Negara Dusuki Mokhtar dipetik berkata, siasatan setakat ini tidak menemukan sebarang petunjuk mengaitkan Wee dengan kematian mangsa.

Beliau ditahan pada 22 Okt lepas dan didakwa atas kesalahan pemilikan dan penyalahgunaan dadah, namun dibebaskan dengan jaminan polis hingga 26 Nov sementara menunggu laporan bedah siasat.

Dalam pada itu, Wee merayu agar masyarakat berhenti menghakimi atau melancarkan serangan buli siber terhadap kerjaya Hsieh sebagai pempengaruh, menegaskan bahawa penglibatan dalam video tertentu tidak mencerminkan keperibadian seseorang.

Mengulas tempoh remannya, Wee, yang mempunyai rekod lampau dengan pihak berkuasa, menyifatkannya sebagai yang paling lama pernah dihadapinya.

Beliau berkata, sepanjang sembilan hari ditahan, beliau disoal siasat oleh enam jabatan polis berbeza, dengan sesi berlangsung antara lapan hingga 15 jam setiap hari.

“Mereka menjalankan siasatan secara rapi dan profesional,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.