Tiada penalti bagi ibu bapa anak bawah 16 tahun guna media sosial

Tiada penalti bagi ibu bapa anak bawah 16 tahun guna media sosial

Tiada keputusan berhubung penalti terhadap ibu bapa dibuat sama ada pada peringkat kementerian mahupun Jemaah Menteri, kata Teo Nie Ching.

kids using handphone
Larangan bagi kanak-kanak bawah usia 16 tahun guna media sosial tahun depan dibuat susulan kebimbangan terhadap peningkatan kes buli siber dan masalah disiplin dalam kalangan pelajar sekolah. (Gambar Envato Elements)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan tidak rancangan mengenakan penalti terhadap ibu bapa anak-anak bawah usia 16 tahun yang menggunakan media sosial, walaupun selepas larangan had umur itu berkuat kuasa tahun depan.

“Buat masa ini, tiada keputusan sedemikian (penalti terhadap ibu bapa) dibuat sama ada pada peringkat kementerian mahupun Jemaah Menteri,” kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching dalam Dewan Rakyat ketika menjawab soalan mengenai perkara itu.

“Namun bagi isu seperti ini, perbincangan dan persetujuan bersama amatlah penting. Kami akan tegas apabila bincangkan hal (larangan) ini dengan penyedia platform.”

Teo berkata, ibu bapa masih bertanggungjawab memantau penggunaan internet anak masing-masing, serta mendidik mereka mengenai amalan selamat dalam talian.

Semalam, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil memaklumkan bahawa Jemaah Menteri bersetuju melaksanakan larangan penggunaan media sosial bagi kanak-kanak di bawah usia 16 tahun bermula tahun depan, dan menggesa platform media sosial agar mematuhi keputusan kerajaan.

Fahmi berkata, antara mekanisme yang sedang dipertimbangkan termasuk pelaksanaan proses pendaftaran menggunakan dokumen pengenalan diri rasmi seperti MyKad, pasport, atau MyDigital ID.

Larangan ini dibuat susulan kebimbangan terhadap peningkatan kes buli siber, gangguan seksual dan masalah disiplin dalam kalangan pelajar sekolah, yang sering dikaitkan dengan pendedahan awal kepada media sosial tanpa kawalan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.