
Merujuk kepada ucapan yang dibuatnya di Malta, Nazri Aziz berkata Tengku Maimun sepatutnya membangkitkan kebimbangannya mengenai kemungkinan campur tangan kehakiman secara peribadi, lapor The Scoop.
Sebaliknya, Tengku Maimun memilih pentas antarabangsa untuk berbuat demikian, katanya.
“Jika anda merasakan perdana menteri telah campur tangan, maka perkara itu sepatutnya ditangani secara senyap. Anda bercakap dengan perdana menteri dan memberitahunya, ‘kami rasa anda telah campur tangan’.
“Ini sepatutnya dilakukan di sebalik pintu tertutup, bukan di Malta!” beliau dipetik sebagai berkata.
Pada Persidangan Undang-undang Komanwel ke-24 di Malta pada April lalu, Tengku Maimun berkata bahawa menghapuskan peranan perdana menteri dalam pelantikan hakim boleh membantu mengikis persepsi wujudnya pengaruh politik terhadap badan kehakiman.
Beliau juga mendedahkan bahawa sejak kebelakangan ini terdapat cadangan supaya Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman dan Perlembagaan dipinda bagi mengeluarkan peranan perdana menteri dalam proses pelantikan hakim.
Beliau berpandangan perubahan sebegitu akan mengukuhkan lagi ketelusan dan keadilan dalam proses pemilihan serta memastikan pelantikan hakim benar-benar berasaskan merit dan bebas daripada sebarang persepsi pengaruh politik.
Nazri berkata tindakan Tengku Maimun itu tidak boleh diterima, terutama pada masa Perdana Menteri Anwar Ibrahim melakukan banyak perjalanan untuk menarik pelaburan.
Beliau juga tidak bersetuju dengan cadangan seorang peguam bahawa Tengku Maimun tidak merujuk kepada Anwar ketika membuat kenyataan tersebut.
“Anda adalah ketua hakim negara yang sedang berkhidmat. Anwar adalah perdana menteri yang sedang berkhidmat. Jadi anda mesti merujuk kepadanya.”
Katanya, Tengku Maimun sebelum ini bercakap mengenai keperluan hubungan baik antara tiga cabang kerajaan, iaitu badan kehakiman, eksekutif dan perundangan.
Nazri berkata hubungan yang membina dan seimbang antara badan kehakiman dan cabang kerajaan lain adalah penting untuk memelihara kebebasan kehakiman sambil menghormati mandat demokratik Parlimen.
Beliau berkata Tengku Maimun sebelum ini menyatakan bahawa tidak ada persaingan antara cabang kerajaan dan di Malaysia, perlembagaan adalah yang tertinggi.
“Beliau sepatutnya mengambil iktibar daripada ucapannya sendiri.”
Tengku Maimun, yang berkhidmat sebagai ketua hakim negara ke-16, bersara pada 5 Julai. Beliau menjadi wanita pertama yang menerajui badan kehakiman apabila dilantik pada 2019.