IRF dibenar cabar penolakan terjemahan teks al-Quran

IRF dibenar cabar penolakan terjemahan teks al-Quran

Islamic Renaissance Front berkata ia tidak diberi alasan atau peluang untuk didengar sebelum kelulusan bersyarat 2023 dibatalkan.

Mahkamah KL
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memberikan kebenaran Islamic Renaissance Front meneruskan permohonan semakan kehakiman terhadap KDN dan Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi bersedia mendengar cabaran undang-undang dikemukakan Islamic Renaissance Front (IRF) berhubung keengganan Kementerian Dalam Negeri (KDN) memperakui terjemahan ulasan al-Quran daripada bahasa Inggeris ke dalam Bahasa Melayu.

Teks ‘The Message of the Qur’an’, telah diterjemahkan dan dijelaskan dalam bahasa Inggeris oleh Muhammad Asad, dan pertama kali diterbitkan di Gibraltar pada tahun 1980.

Versi bahasa Inggeris telah diterbitkan dan diedarkan di Malaysia sejak 2011, dengan kelulusan kerajaan.

Hakim Amarjeet Singh memberikan kebenaran IRF hari ini selepas Peguam Kanan Persekutuan Faisal Noor memberitahu mahkamah bahawa peguam negara tidak mempunyai bantahan terhadap permohonan semakan kehakiman didengar atas meritnya.

Mahkamah menetapkan 24 Julai untuk pengurusan kes.

IRF diwakili peguam Surendra Ananth.

Ia menamakan KDN dan Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran sebagai responden dalam permohonannya.

Pada 2 Nov 2023, KDN memberikan kelulusan bersyarat kepada IRF untuk melaksanakan terjemahannya ke dalam Bahasa Melayu.

Antara syaratnya ialah teks terjemahan hanya boleh digunakan untuk tujuan akademik. IRF juga dikehendaki membuat pembetulan tertentu pada versi Bahasa Melayu teks tersebut.

IRF mendakwa bahawa ia memenuhi keperluan tersebut.

Bagaimanapun, pada 21 Feb, KDN berkata ia membatalkan kelulusan bersyarat, dengan mendakwa salinan akhir karya terjemahan itu gagal memenuhi ‘standard yang diperlukan’ untuk pensijilan.

IRF mendakwa bahawa ia tidak diberi alasan untuk ‘u-turn’ kerajaan pada kelulusan 2023.

Ia juga mengatakan bahawa kementerian telah menafikannya peluang untuk didengari.

“Kelulusan ini tidak boleh dibatalkan sewenang-wenangnya tanpa alasan yang wajar,” katanya.

IRF juga menuntut ganti rugi dan pengisytiharan bahawa kelulusan 2 Nov 2023 adalah sah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.