Rakyat Malaysia disyaki terlibat judi dalam talian ditahan di Bangkok

Rakyat Malaysia disyaki terlibat judi dalam talian ditahan di Bangkok

Lelaki itu yang turut disyaki terlibat dalam ubah wang haram ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang.

don mueang international airport
Ketua Pemeriksaan Imigresen Don Mueang, Adisak Panya berkata suspek yang tiba dari Kuala Lumpur dan ditahan sejurus tiba di balai ketibaan antarabangsa. (Gambar Website)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki warga Malaysia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang di Bangkok, Thailand kerana disyaki terlibat dengan rangkaian perjudian dalam talian dan aktiviti pengubahan wang haram.

Ketua Pemeriksaan Imigresen Don Mueang, Adisak Panya berkata pihak berkuasa menerima maklumat risikan mengenai ketibaan seorang lelaki yang dikehendaki berdasarkan waran tangkap berkaitan kes membabitkan laman sesawang perjudian terkenal.

Katanya, suspek berusia 26 tahun yang tiba dari Kuala Lumpur itu dan ditahan sejurus tiba di balai ketibaan antarabangsa.

“Suspek dikehendaki berdasarkan waran yang dikeluarkan oleh Mahkamah Wilayah Nonthaburi atas pertuduhan berkaitan rangkaian perjudian dalam talian dan pengubahan wang haram.

“Lelaki itu akan disiasat atas kesalahan berkomplot menjalankan perjudian dalam talian tanpa kebenaran, bersekongkol dengan dua atau lebih individu untuk melakukan pengubahan wang haram, serta melakukan aktiviti pengubahan wang,” katanya dalam kenyataan lapor Bernama.

Adisak berkata suspek memiliki sebuah syarikat yang dipercayai menjadi saluran bagi pengedaran dana daripada laman sesawang perjudian, dengan jumlah urus niaga tahunan dilaporkan melebihi 11.52 bilion baht (RM1.5 bilion).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.