
SKMM berkata ia telah membuat laporan polis di Malaysia dan Thailand berhubung penerbitan Hunter mengenai institusi-institusi Malaysia, termasuk SKMM, pada April dan Jun tahun lalu.
Satu saman sivil juga telah difailkan di Malaysia, dengan dokumen saman tersebut diserahkan kepadanya di Thailand.
Dalam satu kenyataan, SKMM berkata ia difahamkan bahawa penahanan Hunter di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Bangkok pada 29 Sept adalah berkaitan ketidakpatuhannya terhadap saman yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Thailand bagi membantu siasatan mereka.
“Segala perkara berkaitan penahanan, potensi kesalahan dan kemungkinan pertuduhan adalah di bawah bidang kuasa pihak berkuasa Thailand,” kata SKMM.
“SKMM menghormati dan akan mematuhi proses sewajarnya serta keputusan sistem keadilan Thailand.”
Hunter ditahan oleh pihak berkuasa Thailand ketika ingin meninggalkan negara itu bagi perjalanan ke Hong Kong.
Seorang pegawai imigresen Thailand memberitahu FMT bahawa penahanan itu dibuat di bawah waran yang dikeluarkan oleh Mahkamah Jenayah Selatan Bangkok.
Hunter dipenjara semalaman dan dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu perbicaraan pada 17 Nov.
Warganegara Australia itu, yang pernah menetap lama di Malaysia, kini tinggal di Thailand. Beliau dikenali kerana penulisannya yang kritikal mengenai politik Malaysia.