
Menurutnya, Malaysia akan menerima jika ia benar-benar memberi manfaat kepada negara.
“Jika kita dapat meraih perjanjian menguntungkan Malaysia, syarikat-syarikat dan ekonomi negara, maka kita akan bersetuju.
“Tetapi jika perjanjian itu tidak memberi manfaat, kita mesti tegas. Rundingan tidak sepatutnya dimulakan dengan niat untuk mengalah dalam semua perkara. Itu bukan cara rundingan berfungsi,” katanya pada sidang media.
Sidang media itu susulan pengumuman Amerika Syarikat (AS) yang menaikkan tarif kepada 25% untuk membawa masuk barangan dari Malaysia mulai 1 Ogos, meningkat daripada 24% dicadangkan sebelum ini.
Dalam surat kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim bertarikh 7 Julai, Presiden AS Donald Trump berkata defisit dialami AS dengan Malaysia disebabkan halangan tarif dan bukan tarif Malaysia yang telah lama wujud.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata sebarang pengurangan tarif perlu disertai analisis teliti mengenai perlu diserahkan Malaysia sebagai timbal balik, dan sebarang “trade-off” perlu diambil kira.
“AS tidak akan menurunkan tarif tanpa konsesi timbal balik. Jadi kita perlu menilai — jika kita penuhi satu permintaan, apakah impaknya terhadap Malaysia? Jika imbangan itu positif, kita boleh teruskan. Tetapi jika kesannya negatif, kita mesti tolak,” katanya.
Tambah beliau, Malaysia mengambil pendekatan jangka panjang dengan fokus rundingan terhadap isu-isu yang penting untuk daya saing negara pada masa depan.
Tengku Zafrul berkata perdagangan dengan AS merangkumi kira-kira 15% atau USD$75 bilion daripada jumlah perdagangan Malaysia.
“Jadi, apa sahaja yang kita tawarkan kepada AS mesti selaras dengan apa yang kita tawarkan kepada rakan dagang lain,” katanya.
“Kita mesti adil dan seimbang — ini bukan soal semudah hanya menurunkan tarif.”