
Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Port Dickson, Akkil Aizat Othman, berkata beliau selaku pembawa usul tidak akan menarik semula cadangan yang dikemukakan.
“Saya tidak akan menarik usul dan Bersatu Port Dickson akan membuat kenyataan rasmi hari ini, (kami) akan menerangkan isi usul tersebut,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas kenyataan Naib Ketua Bahagian Mohd Shuhazlan Ali yang mendakwa usul dibuat itu hanya pandangan individu dan tidak mencerminkan kehendak akar umbi.
Ahad lalu, persidangan tahunan Bersatu Port Dickson meluluskan usul yang mencadangkan peralihan kepimpinan nasional secara terancang dengan Hamzah Zainudin menggantikan Muhyiddin sebagai presiden manakala bekas perdana menteri itu diangkat sebagai penasihat dan mentor.
Akkil berkata, cadangan itu bukan untuk menolak Muhyiddin tetapi bagi memastikan kestabilan dan hala tuju jelas menjelang PRU16, kerana parti kini dilihat terlalu perlahan membuat persiapan.
Bagaimanapun, cadangan itu ditolak Shuhazlan, Pemuda Bersatu dan Bersatu Negeri Sembilan.
Mengulas lanjut, Akkil berkata kenyataan Shuhazlan tidak memihak dan mewakili suara akar umbi memandangkan beliau sendiri tidak pernah hadir ke mesyuarat bahagian termasuk persidangan parti hujung minggu lalu.
“Dia hanya membuat kenyataan media tanpa membaca usul sebenar dan dari cawangan mana usul tersebut…dia tidak tahu dan dimaklumkan,” katanya menafikan Bersatu Port Dickson berpecah disebabkan usul dibawanya.