
Asyraf Wajdi dalam satu hantaran di Facebook berkata, notis saman itu diserahkan peguamnya kepada Wan Azri di kediaman penulis blog itu pada jam 2.15 petang tadi.
“Cukuplah budaya politik kebencian dan fitnah murahan. Kita mesti ajar erti tanggungjawab terhadap kata-kata dan tindakan.
“Kalaupun tidak kisah dengan hukuman dunia, moga ada sekelumit perasaan takut pada azab Allah yang amat pedih akibat fitnah. Jumpa di mahkamah nanti,” katanya.
Bagaimanapun, Asyraf Wajdi tidak mendedahkan butiran notis tuntutan tersebut.
Ahad lalu, Asyraf Wajdi yang juga setiausaha agung Umno menerusi satu hantaran video berkata beliau akan mengambil tindakan menyaman Wan Azri sebanyak RM1 juta berhubung fitnah yang dibuat itu.
Asyraf Wajdi juga menafikan dakwaan kononnya beliau mengagihkan tender makanan dan projek Mara kepada ketua-ketua Umno bahagian serta menggunakan wang agensi itu bagi tujuan ibadah korban di Gerik pada sambutan Aidiladha lalu.