Penulis blog didakwa terima sumbangan bayar saman Anwar tanpa kemas kini perniagaan

Penulis blog didakwa terima sumbangan bayar saman Anwar tanpa kemas kini perniagaan

Wan Muhammad Azri Wan Deris mengaku tak salah atas tuduhan gagal kemuka perubahan butiran perniagaan berkaitan penerimaan sumbangan orang awam bagi bayar saman.

Wan Azri Wan Deris
Mahkamah membenarkan penulis blog Wan Muhammad Azri Wan Deris diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Penulis blog, Wan Muhammad Azri Wan Deris didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan gagal mengemukakan perubahan butiran perniagaan kepada pihak berkuasa berkaitan penerimaan sumbangan orang awam bagi membayar saman dikenakan terhadapnya dalam kes saman fitnah membabitkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Wan Muhammad Azri, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu yang dibacakan di depan Majistret Illi Marisqa Khalizan.

Dia didakwa, selaku individu bertanggungjawab bagi perniagaan perkhidmatan dan pengurusan majlis, Invoice Solutions, gagal mengemukakan perubahan terhadap butir berdaftar perniagaan terbabit apabila digunakan untuk tujuan penerimaan sumbangan daripada orang awam bagi membayar saman kes bernombor 23NCVC-37-03/2013.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 24 Okt hingga 30 Nov 2017 yang didakwa mengikut kesalahan bawah Kaedah 17A(1)(b) Kaedah-kaedah Pendaftaran Perniagaan 1957 dan boleh dihukum bawah Seksyen 12A Akta Pendaftaran Perniagaan 1956.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Anas Mahadzir memohon jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam Muhammad Amirul Ar-Rasyid memohon jaminan lebih rendah atas alasan anak guamnya penanggung utama keluarga dan mempunyai beberapa kes saman lain di mahkamah.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 30 Jan depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.