2 suspek kes bunuh pelajar universiti Cyberjaya didakwa esok

2 suspek kes bunuh pelajar universiti Cyberjaya didakwa esok

Suspek lelaki akan didakwa atas tuduhan membunuh manakala suspek wanita atas tuduhan subahat.

sepang
Ketua Polis Sepang Norhizam Bahaman berkata kedua-dua suspek akan didakwa di Mahkamah Majistret Sepang esok. (Gambar Facebook)
SEPANG:
Dua individu disyaki terbabit dalam kes pembunuhan penuntut universiti swasta di Cyberjaya pada 24 Jun, akan didakwa di Mahkamah Majistret Sepang esok.

Ketua Polis Sepang Norhizam Bahaman menerusi kenyataan berkata pihaknya telah selesai menjalankan siasatan berhubung kes bunuh tersebut.

Beliau berkata Timbalan Pendakwa Raya Selangor mengeluarkan arahan pertuduhan terhadap suspek lelaki dan wanita itu.

“Suspek lelaki dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, manakala suspek wanita dituduh di bawah Seksyen 109/302 Kanun Keseksaan kerana bersubahat.

“Dua lagi suspek dibebaskan,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan dilaporkan berkata penahanan empat individu termasuk suspek utama, iaitu teman lelaki kepada rakan serumah mangsa, polis berjaya menyelesaikan kes berkenaan dalam tempoh 48 jam.

Mangsa yang juga penuntut Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi dan berasal dari Sarawak ditemukan maut di unit kondominiumnya di Cyberjaya pada 10 pagi, 24 Jun.

Mangsa dilaporkan tinggal seorang diri selepas lima rakan serumahnya pulang bercuti sejak 21 Jun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.