
Ketua Polis Selangor Shazeli Kahar, berkata ketika ini pihaknya masih mengesan dua individu itu.
“Bersabit dengan kes eHati, memang ada dua waran tangkap dikeluarkan terhadap dua individu kerana kegagalan hadir ke mahkamah sewaktu pertuduhan hendak dijalankan.
“Itu saya sahkan. Memang ada waran tangkap untuk individu tersebut termasuk pengasas eHati,” katanya menurut Berita Harian pada sidang media di IPK Selangor, Shah Alam.
Bulan lalu, dilaporkan pasangan suami isteri dihadapkan ke dua Mahkamah Majistret berasingan di Shah Alam atas pertuduhan melanggar Akta Kaunselor berkaitan penganjuran motivasi rumah tangga, eHati, pada 2024.
Shazifh Osman, 38, dan Munira Hishamshah, 37, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan masing-masing dibacakan di hadapan Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin dan Majistret Cynthia Noor Haizean Sulaiman.
Berdasarkan pertuduhan, suami isteri yang juga doktor klinik kecantikan itu didakwa sudah menjalankan suatu kesalahan mengikut amalan sebagai kaunselor yang berdaftar di Dewan Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Seksyen 15, Shah Alam, antara 27 hingga 30 Sept tahun lalu.
Justeru, mereka melakukan kesalahan di bawah Seksyen 22 (1) (a) Akta Kaunselor 1998 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (2) akta sama.