Banduan enggan patuh arahan, ada provokasi, kata pegawai Penjara Taiping

Banduan enggan patuh arahan, ada provokasi, kata pegawai Penjara Taiping

Namun, Ketua Inspektor Penjara Taiping Ahmad Saiful Rafie setuju warden tidak boleh guna kekerasan tidak wajar ke atas banduan.

penjara taiping
Suhakam menyiasat dakwaan lebih 60 warden penjara menyerang lebih 100 banduan di Penjara Taiping, awal tahun ini. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Seorang pegawai Penjara Taiping memaklumkan banduan didakwa didera warden penjara pada 17 Jan enggan patuh arahan dan mencetuskan provokasi terhadap pegawai bertugas.

Ketua Inspektor Penjara Taiping, Ahmad Saiful Rafie, 45, berkata insiden itu berpunca daripada provokasi oleh 104 banduan yang dipindahkan dari Pusat Pemulihan Batu Gajah, sehari sebelumnya.

Pada 17 Jan, banduan berkenaan sepatutnya dipindahkan dari dewan ke Blok E penjara, namun mereka enggan berbuat demikian atas alasan blok tersebut daif dan kotor.

“Saya melihat sekiranya pihak tahanan boleh memberikan kerja sepenuhnya saya rasa perkara ini tidak akan berlaku,” katanya dalam inkuiri awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhubung dakwaan penderaan.

“Dan saya tidak nafikan juga mungkin ada berlaku sedikitlah kesilapan di pihak kakitangan penjara.

“Tetapi, sepatutnya tahanan ini yang sudah berulang kali masuk ke dalam penjara, diaorang (mereka) lebih tahu peraturan, arahan, benda yang sama sahaja setiap kali dia orang masuk penjara dan rata-rata tahanan yang masuk ke dalam penjara ini bukan pertama kali, ia sudah beberapa kali,” kata Saiful, yang bertanggungjawab terhadap pendaftaran dan dokumentasi banduan.

Saiful menyifatkan ‘kesilapan’ warden penjara itu sebagai kegagalan mengawal emosi selepas diprovokasi banduan melalui isyarat lucah dan kata kesat.

Meskipun begitu, beliau bersetuju pegawai penjara tidak seharusnya pada bila-bila masa menggunakan kekerasan tidak wajar terhadap banduan. Saiful turut memaklumkan ketika beliau tiba di dewan itu, insiden tersebut telah berakhir.

Banduan berkenaan ditempatkan di dewan tersebut kerana mereka masih menjalani proses saringan keselamatan, termasuk pemeriksaan terhadap barangan peribadi.

Saiful berkata, seorang pegawai bernama Rizal ada terlibat dalam ketegangan dengan kumpulan banduan sama pada hari sebelumnya. Tetapi, beliau tidak pasti sama ada kedua-dua insiden itu saling berkait.

Katanya, pertelingkahan pada 16 Jan itu berlaku hanya 30 minit selepas banduan berkenaan tiba di Penjara Taiping ketika mereka sedang menjalani saringan kesihatan dan keselamatan.

Beliau berkata, banduan itu memprovokasi Rizal, yang terlibat dalam proses saringan terhadap mereka, dan pegawai itu gagal ‘mengawal emosi’. Rakaman CCTV menunjukkan Rizal pada satu ketika meludah ke arah banduan berkenaan.

Saiful berkata, beliau bertindak campur tangan dan mengarahkan Rizal meninggalkan dewan, dan arahan itu dipatuhi dengan keberatan. Saiful mengakui tindakan Rizal tidak wajar bagi seorang pegawai penjara.

“Seorang pegawai penjara sepatutnya mampu kawal emosi,” katanya.

Saiful berkata, beliau tidak secara jelas mendengar pertikaman lidah antara Rizal dan banduan itu memandangkan suasana sangat bising. Beliau turut memaklumkan keutamaan untuk memastikan keadaan terkawal.

“Ketika itu, pandangan saya ialah keadaan akan menjadi tidak terkawal jika tiada tindakan diambil, yang kemudiannya boleh menimbulkan risiko keselamatan,” katanya.

Katanya, beliau tidak melaporkan insiden pada 16 Jan kerana tiada kecederaan berlaku, namun ada mrekodkannya dalam diari tugas, selaras prosedur operasi standard (SOP) penjara.

Saiful berkata, hasil semakan dengan pegawai lain mendapati banduan tersebut enggan patuh arahan Rizal semasa menjalani pemeriksaan fizikal dan semakan terhadap barangan peribadi mereka.

Awal tahun ini, timbul dakwaan lebih 60 warden penjara menyerang lebih 100 banduan di Penjara Taiping.

Suhakam sedang menyiasat dakwaan pelanggaran hak asasi manusia yang didakwa mengakibatkan kematian seorang banduan dan mencederakan beberapa lain.

Pengerusi Suhakam Hishamudin Yunus dan Pesuruhjaya Mariati Robert dan Farah Nini Dusuki menjadi panel melaksanakan inkuiri terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.