
Pengerusi parti itu, John Brian Anthony berkata, orang Dayak sudah sekian lama kurang diwakili, khususnya di kawasan pedalaman, disebabkan oleh akses yang sukar serta perkhidmatan awam yang terhad.

“Sebarang persempadanan baharu wajar memperbetul jurang ini dengan memastikan agihan kerusi lebih seimbang. Sempadan baharu yang digariskan juga tidak patut sewenang-wenangnya memecahkan kawasan rumah panjang, tanah adat, atau wilayah tradisi masyarakat Dayak,” katanya, lapor Dayak Daily.
Beliau berkata, kerajaan negeri dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) harus menghormati adat resam peribumi, dan urusan persempadanan semula itu tidak seharusnya digunakan untuk meretakkan perpaduan budaya serta social.
Beliau turut menggesa agar kajian semula yang menyeluruh dilaksanakan di kawasan majoriti Dayak bagi mencerminkan corak demografi dan identiti budaya sebenar di kawasan-kawasan pilihan raya tersebut.
Katanya, organisasi Dayak, pemimpin tempatan dan wakil masyarakat wajar dilibatkan secara rasmi dalam sesi pendengaran awam semasa urusan persempadanan semula itu.
“Langkah ini penting untuk membina kepercayaan, mencegah amalan ‘gerrymandering’, dan memastikan keabsahan keputusannya,” tambahnya.
Kerusi DUN Sarawak kali terakhir digariskan semula dalam urusan persempadanan pada 2015. Proses penggarisan semula yang baharu kini boleh dilaksanakan selepas tamatnya tempoh moratorium selama lapan tahun antara setiap persempadanan.
Sarawak kini mempunyai 82 kerusi DUN, berbanding 48 kawasan pilihan raya ketika PRN pertamanya pada 1969.

Pada sidang khas DUN esok, kerajaan negeri pimpinan GPS dijangka meminta agar saiz dewan ditambah menjadi 99 kerusi.
Awal tahun ini, Premier Sarawak Abang Johari Openg, yang juga pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata, SPR telah memaklumkan kerajaan negeri tentang kemungkinan sempadan pilihan raya Sarawak disemak.
Beliau berkata, perbincangan akan diadakan dengan rakan kongsi GPS sebelum cadangan persempadanan semula dikemukakan kepada SPR.