Saksi penting kes ugut bunuh exco Pemuda Bersatu dikenal pasti

Saksi penting kes ugut bunuh exco Pemuda Bersatu dikenal pasti

Setakat ini, dua saksi telah dipanggil dan dirakam percakapan bagi membantu siasatan, kata polis Dang Wangi.

Na'im Brundage
Sebelum ini dilaporkan exco Pemuda Bersatu Na’im Brundage mendedahkan beliau terima ugutan bunuh dan ancaman disimbah asid oleh individu tidak dikenali. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Polis sudah mengenal pasti saksi penting berhubung kes ugutan bunuh membabitkan seorang pengarah sebuah syarikat yang juga exco Pemuda Bersatu.

Ketua Polis Dang Wangi Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, hasil siasatan mendapati mangsa tidak mengenali suspek yang didakwa merancang untuk membunuhnya.

Setakat ini, katanya, dua saksi telah dipanggil dan dirakam percakapan bagi membantu siasatan.

“Polis juga mengenal pasti seorang saksi penting berkaitan kes ini dan akan dipanggil untuk dirakam percakapan,” katanya dalam kenyataan.

“Kita percaya keterangan saksi ini kunci untuk menjejaki pelaku terlibat dan memperjelas motif ugutan ke atas pengadu.”

Sulizmie bagaimanapun berkata, setakat ini, tiada sebarang tangkapan dibuat berhubung kes itu.

Beliau berkata, pihaknya giat mengesan identiti suspek terlibat dan melakukan siasatan dari semua segi, menjamin keselamatan pengadu diutamakan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan atas kesalahan menakutkan secara jenayah melalui perantaraan nama yang disembunyikan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Pang Wei Keong di talian 013-2082391 atau menyalurkan kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Rosdi M. Husin di talian 013-3920694.

Sebelum ini, media melaporkan pendedahan exco Pemuda Bersatu Na’im Brundage bahawa beliau menerima ugutan bunuh serta ancaman disimbah asid oleh individu tidak dikenali.

Beliau membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan diri dan ahli keluarganya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.