
Saksi berusia 42 tahun itu adalah ibu kepada Pelajar A, iaitu salah seorang daripada lima pelajar yang didakwa menghina remaja berkenaan.
Dia berkata, ibu Zara, Noraidah Lamat didakwa mengarahkannya untuk menafikan kenyataan Pelajar A kepada polis dan menghubungi pegawai penyiasat secara terus.
“Ibu Zara menghantar mesej kepada saya melalui WhatsApp, memarahi saya kerana membenarkan Pelajar A menceritakan perkara sebenar kepada polis.
“Dia juga mengarahkan kami supaya menafikan kenyataan itu dan meminta saya menghubungi pegawai polis secara terus,” katanya ketika membacakan pernyataan saksinya di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, menurut Berita Harian.
Dia yang juga saksi ke-62 itu berkata, mesej berkenaan turut mengandungi dakwaan bahawa kenyataan Pelajar A diputarbelitkan, polis berkomplot dengan pengetua sekolah, serta tuntutan supaya kenyataan itu dinafikan.
Menurutnya, ibu Zara turut mempersoalkan ketulenan catatan diari termasuk perkataan kesat yang didakwa ditulis oleh Zara serta mendakwa pengesahan forensik menunjukkan tulisan tangan itu bukan milik Zara.
Dia juga mendakwa wanita terbabit menuduh pihak sekolah mereka bukti, mendakwa Pelajar A bertindak mengikut arahan sekolah dan melarang Pelajar A daripada menziarahi kubur Zara.
“Saya memaklumkan perkara ini kepada pegawai penyiasat dan Ustaz Azhari,” katanya sambil menambah bahawa satu laporan polis dibuat bagi memohon siasatan terhadap ibu Zara.
Tak tahu anak dibawa ke balai
Dalam pada itu, saksi sama turut memberitahu Mahkamah Koroner dia tidak pernah dimaklumkan anaknya dibawa keluar oleh pihak sekolah ke balai polis.
Sebaliknya, dia hanya mengetahui anaknya dibawa ke balai polis dua hari selepas kejadian menimpa Zara, menimbulkan rasa marahnya.
“Saya hanya tahu pada 18 Julai ketika datang ke sekolah. Pada waktu itu, saya mencari anak saya tetapi dimaklumkan dia tiada.
“Saya bertanya kepada rakan-rakannya mengenai keberadaan Pelajar A dan mereka memberitahu bahawa Pelajar A mengikut Ustaz Azhahari, namun tidak mengetahui ke mana.
“Kemudian, suami saya menghubungi ustaz tersebut dan dimaklumkan bahawa Pelajar A dibawa ke balai polis,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya merangkap pegawai pengendali, Mohd Fairuz Johari, lapor Sinar Harian.
Apabila ditanya lanjut mengenai tindakan yang akan diambil sekiranya dimaklumkan lebih awal anaknya dibawa ke balai polis, saksi berkata dia akan membenarkan perkara itu bagi membantu siasatan.
Saksi terbabit sebelum itu berkata dia pertama kali mendapat tahu mengenai insiden itu adalah pada 16 Julai lalu kira-kira 8.39 pagi selepas dimaklumkan ibu pelajar lain melalui WhatsApp.
Katanya, dia turut memberitahu ada menghubungi Noraidah untuk bertanyakan keadaannya serta menasihatkannya kekal tenang, bersabar dan berhati-hati ketika memandu.
“Saya terkejut tetapi kagum dengan ketenangannya. Suaranya tenang ketika saya bertanya sama ada benar Zara terjatuh dari bangunan. Kadang-kadang kedengaran sedih, tetapi dia tidak meraung.
“Saya menelefonnya berulang kali, hampir setiap jam, kerana bimbang dia memandu seorang diri dari Sipitang ke Kota Kinabalu dalam keadaan sebegitu.
“Dia tiba di hospital lewat daripada jangkaan, mungkin kerana memandu perlahan dan keadaan trafik yang sesak,” katanya.
Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai.
Dia dimasukkan ke hospital berkenaan sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada 4 pagi.
Pada 20 Ogos 2025, lima pelajar termasuk Pelajar A, yang identitinya dilindungi di bawah Akta Kanak-Kanak, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Bagi Kanak-Kanak atas pertuduhan menghina Zara.
Kes masih dalam perbicaraan.