Amanah nafi ada kaitan individu, NGO didakwa seleweng zakat RM230 juta

Amanah nafi ada kaitan individu, NGO didakwa seleweng zakat RM230 juta

Timbalan Pengerusi Amanah Wilayah Persekutuan Hayatul Kamil Termudi menyifatkan tuduhan kaitkan parti itu sebagai fitnah dan berniat jahat mencemarkan nama baiknya.

Laporan Polis
Timbalan Pengerusi Amanah Wilayah Persekutuan Hayatul Kamil Termudi (dua kanan) bersama pimpinan negeri itu menunjukkan laporan polis terhadap seorang pengguna Facebook yang dibuat di Balai Polis Chow Kit hari ini.
KUALA LUMPUR:
Amanah menafikan terbabit secara langsung dengan badan bukan kerajaan (NGO) dikaitkan dengan kes penyelewengan dana zakat berjumlah RM230 juta selepas tiga individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Pengerusi Amanah Wilayah Persekutuan, Hayatul Kamil Termudi, menyifatkan tuduhan seorang pengguna Facebook mengaitkan parti itu mempunyai kepentingan dengan dana NGO terbabit sebagai fitnah dan berniat jahat mencemarkan nama baiknya.

“Amanah tak ada kena-mengena dengan NGO berkenaan, Amanah juga tak ada kepentingan untuk mendapat bahagian dari duit zakat diseleweng,” katanya selepas bersama pimpinan Amanah Wilayah Persekutuan membuat laporan polis terhadap pengguna Facebook itu di Balai Polis Chow Kit.

Sementara itu, Pengerusi Biro Komunikasi Amanah Wilayah Persekutuan, Razali Zakaria, berkata pihaknya menggesa polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengambil tindakan terhadap pengguna Facebook terbabit, termasuk menurunkan artikel berunsur fitnah terhadap Amanah.

“Kalau ia diteruskan, ia boleh menjadi anggapan benda yang tak betul disampaikan kepada masyarakat, terutamanya kepada Amanah,” katanya memaklumkan laporan polis turut dibuat wakil Amanah di seluruh negara.

Ketua Pemuda Amanah Wilayah Persekutuan, Faris Arifin, berkata partinya dan NGO terbabit merupakan dua entiti berbeza, selain tiga individu itu tidak boleh dikaitkan dengan partinya.

Sebelum ini, SPRM menahan tiga individu, termasuk seorang timbalan pengerusi NGO kerana disyaki menyeleweng dana zakat berjumlah RM230 juta.

Susulan itu, Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Rabu lalu mengumumkan ia merehatkan tiga individu dipercayai anggotanya bagi memastikan kelancaran siasatan SPRM.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.