
Hakikatnya, menurut Geoffrey Williams, GST mendahului SST hanya dari segi kutipan hasil memandangkan skop barangan dan perkhidmatan yang lebih luas.

Jelasnya, hasil GST tentunya lebih tinggi berbanding SST memandangkan lebih banyak barangan dan perkhidmatan dikenakan cukai dan lebih ramai rakyat membayarnya, termasuk golongan berpendapatan rendah.
“SST boleh menjadi lebih adil berbanding GST bergantung pada skop dan liputan cukai itu memandangkan keperluan hidup serta barangan dan perkhidmatan terpilih boleh dikecualikan,” katanya kepada FMT.
Williams menegaskan bahawa adalah tidak munasabah untuk mengambil lebih banyak wang daripada pengguna yang bergelut dengan kos sara hidup ketika pendapatan di tahap rendah.
“Oleh itu, lebih baik tunggu sehingga pendapatan purata dan median meningkat bagi mengelak daripada mengenakan cukai yang tinggi ke atas pengguna berpendapatan rendah,” katanya.
Sementara itu, kemunculan e-dagang, e-bayaran, dan e-invois juga memungkinkan pengenalan cukai baharu yang tidak mengherot perbelanjaan pengguna, dan boleh dikutip dengan cekap tanpa sebarang kos pentadbiran tambahan ke atas perniagaan, seperti cukai pembayaran elektronik (EPT).
“Sudah tiba masanya perdebatan mengenai mencukai perbelanjaan mengambil kira pilihan lain,” katanya.
Sementara itu, Barjoyai Bardai dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata SST boleh disesuaikan lagi untuk menjadikan ia tidak membebankan kerajaan tetapi lebih produktif.
“Kita tidak perlu tukar kepada GST untuk memperoleh kesan ini,” katanya.
Barjoyai berkata di sebalik populariti GST, ada negara besar tidak mengamalkan cukai seperti itu misalnya Amerika Syarikat.
“Dia masih cukai jualan juga seperti Malaysia,” katanya.

Barjoyai menyeru kerajaan perbaiki SST bagi menangani isu ‘cukai satu tingkat’ dengan mewujudkan ‘kesan kredit’ untuk menghilangkan kesan cukai ke atas cukai.
“Kalau itu boleh dilakukan, kita boleh menurunkan harga barang kerana harga barang tidak akan dicukai beberapa kali,” katanya.
Kelmarin, Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata kerajaan tidak bercadang memperkenalkan semula GST buat masa ini, kerana ia ‘tidak praktikal’ dalam keadaan ekonomi semasa.
Bercakap sebagai tetamu di audio siar Keluar Sekejap, Amir berkata kerajaan tidak pernah mempertikaikan sistem GST, namun berpendapat ia tidak boleh diperkenalkan semula kerana ‘tidak sesuai buat masa ini’.
Bulan lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Putrajaya akan mempertimbangkan untuk memperkenalkan semula cukai itu apabila ekonomi bertambah baik dan gaji minimum mencecah RM4,000 atau lebih.