Saya tak lagi pikul beban ini, kata Tengku Maimun

Saya tak lagi pikul beban ini, kata Tengku Maimun

Bekas ketua hakim negara itu berkata beliau dan rakan setugas bekerja keras selama enam tahun untuk mengangkat semula imej badan kehakiman.

Yang Amat Arif Tun Tengku Maimun Tuan Mat
Bekas ketua hakim negara Tengku Maimun Tuan Mat mencapai usia persaraan wajib 66 tahun semalam, dengan Selasa menjadi hari terakhir beliau berkhidmat.
KUALA LUMPUR:
Bekas ketua hakim negara, Tengku Maimun Tuan Mat berkata kini terpulang kepada kerajaan dan penggantinya untuk meneruskan amanah mempertahankan kebebasan badan kehakiman.

Tengku Maimun – wanita pertama dilantik mengetuai badan kehakiman negara apabila dilantik ketua hakim negara pada 2019 – mencapai usia persaraan wajib 66 tahun semalam, dengan Selasa menjadi hari terakhir beliau berkhidmat.

Berucap ketika pelancaran bukunya hari ini, Tengku Maimun berkata beliau dan bekas rakan setugas bekerja keras selama enam tahun untuk mengangkat semula imej badan kehakiman.

“Saya tidak lagi perlu memikul beban ini,” katanya.

“Masih sukar untuk saya percaya bahawa saya menghabiskan enam tahun hidup saya sebagai ketua hakim negara, dan saya kini bersara selepas seumur hidup berkhidmat.”

Bukunya, Beyond The Gavel, menghimpunkan beberapa penghakiman bertulis beliau daripada Mahkamah Tinggi hingga Mahkamah Persekutuan, serta beberapa ucapannya sebelum ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakan-rakannya dalam kalangan peguam dan hakim yang menyumbang kepada penerbitan buku itu.

Persaraan Tengku Maimun diikuti oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Abang Iskandar Abang Hashim, yang juga menamatkan perkhidmatan beliau semalam.

Kedua-duanya bersara sehari sebelum ulang tahun kelahiran ke-66, selaras usia persaraan wajib bagi hakim.

Hakim Besar Malaya, Hasnah Hashim, yang kini merupakan hakim berpangkat tertinggi dalam badan kehakiman, dilantik sebagai pemangku ketua hakim negara.

Hasnah, yang berada di kedudukan ketiga tertinggi dalam hierarki kehakiman, mencatat sejarah hari ini apabila secara rasmi menyandang tiga jawatan tertinggi badan kehakiman secara serentak.

Hasnah sendiri telah mencapai usia persaraan wajib pada 13 Mei, namun menerima lanjutan perkhidmatan enam bulan hingga 14 Nov.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.