Bunuh kekasih: Mahkamah sahkan hukuman penjara 35 tahun

Bunuh kekasih: Mahkamah sahkan hukuman penjara 35 tahun

Bekas pengawal keselamatan, M Gunasegaran, dipenjara kerana membunuh seorang wanita, yang menyuarakan hasrat mengahwini lelaki lain.

istana kehakiman Federal Court
Sidang tiga hakim Mahkamah Persekutuan memutuskan sabitan terhadap M Gunasegaran selamat.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Persekutuan mengesahkan hukuman penjara 35 tahun terhadap seorang bekas pengawal keselamatan yang membunuh kekasihnya, selepas wanita itu menyuarakan hasrat mahu mengahwini lelaki lain.

Sidang tiga hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata sabitan oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan adalah selamat.

Sidang hakim berpandangan tiada kekhilafan serius oleh mahkamah bawahan berkenaan.

“Pembelaan provokasi serius dan mengejut tidak terpakai untuk perayu,” katanya ketika menolak rayuan M Gunasegaran terhadap sabitan dan hukuman.

Hakim Collin Lawrence Sequerah dan Azimah Omar turut bersidang.

Dalam pada itu, Wan Farid menangguhkan hukuman 15 sebatan terhadap Gunasegaran sehingga Mahkamah Persekutuan membuat keputusan tentang hukuman itu di sisi Perlembagaan.

Ini berikutan empat bulan lalu, peguam bagi tiga lelaki dalam kes lain memohon hukuman sebat terhadap mereka diketepikan atas alasan hukuman itu melanggar hak mereka mengikut Perkara 5 dan 8 Perlembagaan.

Sementara itu, dalam kes hari ini, Arik Zakri Abdul Kadir mewakili Gunasegaran selaku peguam, manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Iznina Hanim Hashim.

Dua tahun lalu, Mahkamah Rayuan meringankan hukuman terhadap Gunasegaran daripada hukuman mati kepada penjara 35 tahun, kerana membunuh D Tharani, berkuat kuasa dari tarikh tangkap pada 5 Feb 2018. Mahkamah turut memerintahkan dia disebat 15 kali.

Gunasegaran, 44, didakwa melakukan kesalahan itu di tempat letak kereta pasar raya Giant, Kota Damansara pada 1.50 petang, 5 Feb 2018.

Dia kemudian memandu kereta bersama mayat mangsa dari tempat kejadian ke Balai Polis Damansara untuk menyerah diri.

Menurut fakta kes, Gunasegaran dan Tharani menjalin hukuman selama tiga bulan sebelum kejadian.

Arik berhujah Gunasegaran hilang kawalan selepas mangsa memaklumkan mahu mengahwini lelaki lain.

Iznina berhujah jenayah itu dirancang lebih awal malah Gunasegaran sebelum itu membeli pisau dan tuala di sebuah kedai runcit.

Katanya, tuala itu digunakan untuk menutup muka mangsa selepas kejadian. Beliau turut merujuk pesanan teks antara kedua-duanya yang menunjukkan hubungan mereka semakin keruh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.