Pengurus kanan GLC ditahan terima rasuah RM16,000

Pengurus kanan GLC ditahan terima rasuah RM16,000

Suspek dipercayai menerima suapan secara berperingkat sebagai balasan mendapatkan kerja membaik pulih bawah GLC itu di sekitar Sabah.

macc sprm
Lelaki 50-an itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah pada 4 petang semalam.
KUALA LUMPUR:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang pengurus kanan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri itu kerana disyaki meminta dan menerima rasuah RM16,000 sebagai balasan mendapat kerja bawah syarikat berkenaan.

Menurut sumber, lelaki 50-an itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah pada 4 petang semalam.

“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut sekitar tahun lepas dan menerima wang rasuah kira-kira RM16,000.

“Suspek dipercayai menerima suapan melalui transaksi pindahan ke akaun bank miliknya secara berperingkat, sebagai balasan mendapatkan kerja membaik pulih bawah GLC tersebut di sekitar Sabah,” menurut sumber.

Pengarah SPRM Sabah, S Karunanithy, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan memaklumkan kes disiasat bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Kinabalu hari ini bagi permohonan reman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.