
Ellron menyifatkan dakwaan dalam laporan Malaysiakini itu sebagai “fitnah yang tidak berasas dan bermotifkan politik tidak matang, serta mencemarkan nama baik dan integriti saya sebagai wakil rakyat”.
“Saya sentiasa berpegang kepada prinsip integriti, akauntabiliti dan tadbir urus bersih, sejajar dengan komitmen kerajaan Sabah dalam membanteras rasuah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
“Saya telah mengarahkan pasukan undang-undang untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan tuduhan palsu ini”.
Penafian timbalan presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) itu hadir susulan penafian daripada Presiden parti Jeffrey Kitingan, yang turut dikaitkan dalam laporan Malaysiakini itu bersama empat lagi pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Isnin lalu, pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Andi Suryady Bandy dan Adun Sindumin, Dr Yusof Yacob didakwa menerima rasuah berkaitan permohonan lesen melombong mineral di negeri itu.
Yusof juga merupakan pengerusi Qhazanah Sabah Bhd, cabang pelaburan kerajaan negeri.
Ahli perniagaan Albert Wei pula didakwa memberi rasuah kepada mereka.
Skandal berkenaan dilaporkan tahun lalu selepas beberapa siri video mengaitkan beberapa Adun Sabah tersebar. Video itu didakwa menunjukkan perbincangan berunsur rasuah dan salah laku berkaitan projek melombong mineral di negeri itu.
Pada Februari, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata video berkenaan tidak mempunyai kredibiliti kerana disunting dengan ketara.