
Pengarah JPJ Selangor Azrin Borhan berkata, kesemua 56 bas ekspres dan 23 bas persiaran diperiksa didapati mematuhi arahan sserta peraturan ditetapkan.
“Kita dapati kesemua kenderaan ini mematuhi arahan yang telah kita uar-uarkan dan tetapkan. Di sekitar Selangor, pematuhan dan kerjasama daripada pemandu dan penumpang amat tinggi.
“Operasi ini akan diadakan secara berterusan dan kita akan membuat penguatkuasaan secara penyamaran di dalam bas serta memantau dan menguatkuasakan undang-undang yang ada,” katanya kepada pemberita.
Terdahulu, Azrin mengetuai Op Pemakaian Tali Pinggang Keledar Bas Ekspres dan Bas Persiaran di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil Arah Utara.
Operasi itu bertujuan memastikan tahap keselamatan penumpang dalam perkhidmatan pengangkutan awam khususnya bas dipertingkatkan, selaras dengan kehendak undang-undang dan piawaian keselamatan jalan raya di negara ini.
Azrin berkata, setakat 1 tengah hari, lima bas diperiksa di R&R itu dan kesemua penumpang didapati memakai tali pinggang keledar setelah dimaklumkan oleh pemandu sebelum memulakan perjalanan.
Katanya, JPJ Selangor akan menumpukan pemeriksaan terhadap bas ekspres dan bas persiaran di terminal utama bas, hentian rehat dan kawasan tumpuan pelancong, serta lebuh raya utama.
“Apabila kita membuat pemeriksaan dan penguatkuasaan, kalau didapatii tali pinggang rosak, kita akan mengarahkan syarikat itu membuat pembaikan segera dan notis amaran akan diberikan,” katanya.
Ahad lepas, Ketua Pengarah JPJ Aedy Fadly Ramli dilaporkan berkata, jabatan itu akan mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar ke atas semua pemandu dan penumpang bas ekspres serta bas persiaran bermula1 Julai, melibatkan bas yang dikeluarkan selepas Januari 2020.
Bagi bas yang dikeluarkan sebelum 2020, tempoh masa akan diberikan untuk pemasangan tali pinggang keledar.
Penumpang atau pemandu yang ingkar arahan akan disaman RM300, malah syarikat juga tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang kerana gagal memastikan keselamatan penumpang.