AS perlu strategi jelas untuk Asia Tenggara, kata bekas pegawai pertahanan Biden

AS perlu strategi jelas untuk Asia Tenggara, kata bekas pegawai pertahanan Biden

Ely Ratner berkata strategi itu mesti merangkumi kerjasama ekonomi membina dan menghormati autonomi strategik ASEAN.

ely ratner
Ely Ratner berkata Amerika Syarikat mesti berusaha memastikan Indo-Pasifik kekal terbuka dan boleh diakses secara global dalam aspek perdagangan, teknologi, idea, pergerakan masyarakat dan kerjasama ketenteraan. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Pentadbiran Donald Trump perlu merangka strategi jelas terhadap Asia Tenggara dan rantau lebih luas, menurut Ely Ratner, bekas penolong setiausaha pertahanan bagi hal ehwal keselamatan Indo-Pasifik semasa pentadbiran bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden.

Bercakap dalam program audio siar ASEAN Wonk, Ratner mengakui pendekatan Washington terhadap Indo-Pasifik menunjukkan kesinambungan dalam dasar, khususnya berkaitan pakatan dengan Filipina.

“Itu kerana Filipina lebih selari dalam menangani cabaran berkaitan China berbanding kebanyakan negara lain di Asia Tenggara—sekurang-kurangnya secara terbuka,” katanya.

Bagaimanapun, beliau juga menyatakan di bawah kepimpinan Trump, AS telah mula menyimpang daripada norma tertentu, termasuk desakan lebih kuat supaya sekutu dan rakan kongsi meningkatkan perbelanjaan pertahanan serta memikul tanggungjawab strategik lebih besar.

Dengan pentadbiran Trump sedang membentuk pelan baru untuk Indo-Pasifik, Ratner berkata AS mesti menggabungkan diplomasi, bantuan dan insentif ekonomi untuk mencapai matlamatnya di rantau ini.

Beliau berkata AS menyedari realiti geopolitik dan tidak berniat memaksa negara-negara Asia Tenggara memilih pihaknya berbanding China.

“Amerika Syarikat tidak bercita-cita untuk menjadikan negara-negara ini sekutu seperti Jepun atau Australia,” katanya sambil menambah tidak realistik untuk mengharapkan negara seperti Indonesia dan Malaysia mengambil pendirian anti-China.

Ratner turut menekanan keperluan AS mengiktiraf kehadiran budaya, sejarah, ekonomi dan geopolitik China di rantau ini.

“Negara-negara ini pasti akan menjalinkan kerjasama ketenteraan dan pertahanan dengan (Tentera Pembebasan Rakyat China). Itu sesuatu yang semula jadi dan harus diterima.

“Amerika Syarikat perlu mencapai objektifnya dalam kerangka realiti itu,” katanya.

Ratner menekankan matlamat AS ialah memastikan Indo-Pasifik yang ‘bebas dan terbuka’ dengan akses global terhadap perdagangan, teknologi, idea, pergerakan manusia dan kerjasama ketenteraan.

Walaupun mengakui ada sedikit skeptisisme terhadap AS di rantau ini, Ratner yakin negara anggota ASEAN tidak bercita-cita menjadi ‘satelit kepada suatu susunan dunia yang diketuai China’—baik dalam jangka pendek mahupun panjang.

Namun, beliau memberi amaran ketidakstabilan di Timur Tengah ketika ini boleh mengalihkan fokus strategik Washington daripada Indo-Pasifik.

Meskipun pemindahan aset ketenteraan ke Timur Tengah mungkin wajar, Ratner berkata AS perlu menentukan sejauh mana keutamaan yang ingin diberikan kepada pertahanan Indo-Pasifik.

Amerika Syarikat ialah rakan dialog ASEAN.

ASEAN dijangka membincangkan isu keselamatan serantau dan kerjasama ekonomi semasa Mesyuarat Menteri-menteri Luar Negeri ASEAN Ke-58 dan Mesyuarat Pasca Persidangan Menteri-menteri Luar Negeri.

Mesyuarat itu dijadualkan 8 hingga 11 Julai di Kuala Lumpur.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.