4 lelaki termasuk 3 warga Singapura didakwa edar kokain

4 lelaki termasuk 3 warga Singapura didakwa edar kokain

Semua tertuduh didakwa mengedar dadah itu dalam bentuk cecair hampir 10 liter di jalan keluar sebuah hotel, minggu lepas.

Kong Sien Mee, Quek Kien Seng, Tristan Chew Jin Zhong, and Ivan Tan Zhi Xuan
Warga tempatan, Kong Sien Mee dan tiga lelaki Singapura iaitu Quek Kien Seng, Tristan Chew Jin Zhong dan Ivan Tan Zhi Xuan diiringi polis di Mahkamah Majistret Ampang hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Empat lelaki termasuk tiga warga Singapura didakwa di Mahkamah Majistret Ampang atas pertuduhan mengedar dadah jenis kokain dalam bentuk cecair hampir 10 liter, minggu lepas.

Tertuduhan warga tempatan, Kong Sien Mee, 57, dan tiga lelaki Singapura iaitu Quek Kien Seng, 45, Tristan Chew Jin Zhong, 25, dan Ivan Tan Zhi Xuan, 31, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Amalina Basirah Md Top.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh berikutan kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mereka didakwa bersama-sama mengedar dadah jenis kokain dengan anggaran isipadu 9,420.2 mililiter di jalan keluar sebuah hotel di sini pada 11.45 pagi, 19 Jun lepas.

Pendakwaan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum dengan sebatan minimum 12 sebatan.

Mahkamah menetapkan 8 Sept ini untuk sebutan semula kes dan laporan kimia.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya M Ramanathan Alias Ashwin manakala tiga tertuduh warga Singapura diwakili peguam Ille Maryam Yusnawannie manakala Kong tidak diwakili peguam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.