
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata kertas siasatan telah diserahkan kepada pejabat timbalan pendakwa raya (TPR) untuk tindakan selanjutnya.
“Sebarang pertuduhan jenayah belum lagi diputuskan. Saya tunggu keputusan daripada TPR,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat SPRM.
Bulan lalu, SPRM berkata ia akan menyoal bekas menantu Ismail, Jovian Mandagie, di Indonesia sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap pengisytiharan harta bekas perdana menteri itu.
Ismail, yang juga Ahli Parlimen Bera, dipanggil oleh SPRM untuk beberapa sesi soal siasat sejak Februari tahun ini.
SPRM sedang menyiasat penemuan wang tunai berjumlah kira-kira RM170 juta dan jongkong emas seberat 16kg bernilai jutaan ringgit, yang dirampas dalam serbuan ke atas kediaman empat lelaki, serta tiga premis lain yang dipercayai sebagai ‘rumah selamat’.
Seorang pengurup wang turut ditahan sebagai sebahagian daripada siasatan ke atas Ismail.
Dalam perkembangan berasingan, Azam berkata SPRM akan memfailkan permohonan untuk melucut hak Menara Ilham setinggi 60 tingkat milik Allahyarham Daim Zainuddin dan keluarganya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Beliau turut berkata agensi antirasuah itu merancang untuk memfailkan permohonan bagi melucutkan hak aset-aset lain di Malaysia yang dikaitkan dengan keluarga Daim dalam beberapa minggu akan datang.
SPRM kali pertama menyita Menara Ilham di bawah Akta SPRM pada Disember 2023 sementara siasatan dijalankan.
Awal bulan ini, menara itu sekali lagi disita, kali ini di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.
Balu Daim, Naimah Khalid, merancang untuk mencabar penyitaan itu di mahkamah.
Pada Mei lalu, SPRM dilaporkan membuka lapan kertas siasatan baharu berhubung aset ‘bernilai tinggi’ yang dikaitkan dengan Daim dan ahli keluarganya selepas menerima maklumat baharu dari luar negara.