Pendakwaan mahu beku RM1.1 bilion aset Naimah di Jersey

Pendakwaan mahu beku RM1.1 bilion aset Naimah di Jersey

Ini usaha ketiga pendakwaan bekukan aset balu Daim Zainuddin di luar negara selepas tindakan sama terhadap dana di UK dan Singapura.

naimah khalid
Naimah Khalid didakwa memiliki USD157.5 juta (RM667 juta) dan £85 juta (RM490.7 juta) aset yang dipercayai diperolehi di Malaysia tetapi tidak diisytiharkan kepada LHDN. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pendakwaan memohon kepada Mahkamah Tinggi untuk menyekat Naimah Khalid, balu kepada bekas menteri kewangan Daim Zainuddin, dan rakan-rakannya daripada berurusan dengan aset bernilai lebih RM1.1 bilion yang terletak di Jersey, sebuah wilayah milik Mahkota British.

Timbalan Pendakwa Raya Maziah Mohaide berkata permohonan ex parte itu sedang difailkan di bawah Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA), lapor The Edge.

Beliau berkata permohonan itu dibuat susulan siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 113 Akta Cukai Pendapatan 1967 dan Seksyen 4(1) AMLA.

“Ini susulan aset yang diperoleh oleh Naimah atau rakan-rakannya di Malaysia yang tidak diisytiharkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri. Aset ini bernilai kira-kira USD157.5 juta (RM667 juta) dan £85 juta (RM490.7 juta) di Jersey,” katanya yang dipetik sebagai berkata.

Bagaimanapun, peguam Naimah, Syed Afiq Syed Albakri, telah memohon untuk campur tangan dalam kes itu dan meminta mahkamah menyerahkan dokumen prosiding kepada anak guamnya.

Syed Afiq berkata terdapat dua percubaan dalam bulan ini untuk membekukan aset Naimah melalui permohonan Mahkamah Tinggi yang berasingan.

“Demi keadilan asasi, kami sepatutnya dibenarkan untuk campur tangan dan mendapatkan dokumen prosiding. Kami juga memohon pihak pendakwaan memaklumkan kami tentang sebarang percubaan untuk memohon sebarang perintah larangan,” katanya.

Hakim Muhammad Jamil Hussin mengarahkan Syed Afiq untuk memfailkan permohonan campur tangan secara rasmi, yang akan didengar pada 22 Ogos.

Ini ialah percubaan ketiga oleh pihak pendakwaan untuk membekukan aset luar negara Naimah, susulan cubaan terdahulu untuk menyekat £132 juta di United Kingdom dan RM544 juta di Singapura.

Naimah, ketika ini berdepan tuduhan perisytiharan aset, didakwa gagal mengisytiharkan pemilikan dalam pelbagai syarikat, beberapa bidang tanah di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, dan dua kenderaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.