
Harian Metro melaporkan Muhammad Hamirullah Hadi Mohd Hamidi, 28, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di depan Majistret Suzana Mokhtar di Mahkamah Majistret Muar.
Penjual burger itu didakwa sengaja menyebabkan kecederaan kepada isterinya berusia 28 tahun menggunakan kerusi meja solek di sebuah rumah di Taman Damai, Sungai Abong pada 8.30 pagi 20 Jun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau dengan sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Menurut laporan, tertuduh dikatakan cemburu dengan isterinya yang bekerja di sebuah kafe dan mengambil kerusi meja solek lalu memukulnya hingga cedera di muka, badan serta tangan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Yasmin Mohd Piah, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Fatimah Zahrah Azmi.
Majistret membenarkan ikat jamin RM3,500 dengan syarat tambahan melaporkan diri di balai polis berhampiran dan tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan, khasnya mangsa sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 17 Julai ini untuk sebutan serahan dokumen dan lantikan peguam tertuduh.