Lelaki pukul isteri hingga keguguran kini disiasat kes tanam janin

Lelaki pukul isteri hingga keguguran kini disiasat kes tanam janin

Ketua Polis Kedah Adzli Abu Shah berkata suspek berusia 43 tahun itu mengaku dan menunjukkan tempat dia menanam janin pada Khamis lalu.

Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah
Menurut Ketua Polis Kedah Adzli Abu Shah, janin itu adalah kandungan isterinya berusia 12 minggu yang gugur selepas dia memukul mangsa dalam kejadian di Ambangan Heights, Sungai Petani pada 2 April lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Lelaki yang disyaki memukul isterinya dalam kejadian di Sungai Petani baru-baru ini kini disiasat berhubung kes menanam janin.

Ketua Polis Kedah, Adzli Abu Shah, berkata soal siasat terhadap suspek berusia 43 tahun itu mendapati lelaki terbabit mengaku dan menunjukkan tempat dia menanam janin berkenaan pada Khamis lalu.

Katanya, janin terbabit adalah kandungan isterinya berusia 12 minggu yang gugur selepas dia memukul mangsa dalam kejadian di Ambangan Heights, pada 2 April lalu.

“Polis pada Khamis lalu membawa suspek bersama isterinya iaitu mangsa berusia 39 tahun untuk menunjukkan lokasi janin itu ditanam.

“Kita turut membawa pasukan dari Unit Forensik, IPK Kedah untuk menggali lokasi itu dan menemui janin tidak sempurna pada tisu kering,” katanya pada sidang media hari ini, menurut Berita Harian.

Menurut Adzli, sampel yang diambil dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis dan polis akan membuka kertas siasatan jika disahkan ia adalah janin manusia.

Katanya, siasatan akan dibuat mengikut Seksyen 318 Kanun Kesiksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

“Kita juga meminta sesiapa yang pernah menjadi mangsa suspek untuk tampil membantu siasatan berhubung perbuatan lelaki ini,” katanya.

Seorang wanita sebelum ini dilaporkan cedera di beberapa bahagian badan dipercayai dipukul suaminya sehingga menyebabkan mangsa turut mengalami keguguran ketika kandungan berusia 12 minggu.

Mangsa yang juga penjawat awam itu kini masih dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani akibat kecederaan yang dialami.

Kejadian itu menyebabkan mangsa patah tulang rusuk kanan dan rusuk kiri, patah tulang belakang selain keguguran serta bengkak dan luka di seluruh badan.

Suspek kemudiannya ditahan di sebuah inap desa di Alor Setar pada 28 April lalu dan direman tujuh hari untuk membantu siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.