
Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Md Amin Md Taff, berkata angka itu merupakan peningkatan 0.01 mata daripada 2.84 yang direkod pada tahun sebelumnya.
“Seramai 1,266 atau 3.06% calon meraih PNGK 4.00 dan bilangan ini meningkat kepada 150 calon berbanding 2023.
“Dari segi PNGK calon, secara keseluruhannya didapati bilangan longgokan dan peratusan longgokan calon STPM 2024 pada PNGK 3.75, PNGK 3.00, PNGK 2.75 dan PNGK 2.00 telah meningkat berbanding 2023,” katanya pada Majlis Pengumuman Keputusan STPM di Majlis Peperiksaan Malaysia, hari ini.
Md Amin berkata dari segi pencapaian PNGK secara keseluruhannya, calon yang memperoleh PNGK 3.75 dan ke atas ialah 10.71% dan PNGK 3.00 ke atas adalah 44.97%.
Beliau berkata seramai 42,861 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan itu dan 41,434 (96.67%) orang hadir untuk menduduki peperiksaan pada ketiga-tiga semester peperiksaan. .
“Daripada 41,434 calon yang hadir, seramai 99.97% atau 41,422 calon layak mendapat sijil STPM.
“Syarat bagi mendapatkan sijil itu, calon mesti memperoleh lulus sebahagian sekurang-kurangnya dalam satu mata pelajaran,” katanya.
Sementara itu Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengumumkan penubuhan Majlis Tingkatan Enam pada tahun ini untuk mengukuhkan lagi kepimpinan sekali gus menjadi suara kepada pelajar peringkat itu.
“Pastinya mereka akan lebih dekat dengan KPM dan juga menteri sendiri kerana pelajar tingkatan enam ini akan berada di bawah Menteri Pendidikan sendiri,” katanya.
Fadhlina turut mengumumkan inisiatif dermasiswa dengan rakan strategik syarikat swasta untuk memberi bantuan biasiswa RM100 sebulan kepada pelajar Tingkatan 6 dalam golongan B40.
Menurut, KPM juga merancang memberi tajaan biasiswa kepada lepasan STPM cemerlang.
“Seramai 300 pelajar terbaik akan mendapat peluang menyambung pengajian bidang pendidikan di universiti tempatan,” katanya.