
“Selepas sesi soal siasat, berlaku perbincangan hangat pada mesyuarat bulanan SPK bulan lalu, yang kini dilaporkan berpecah kepada dua kumpulan, dengan satu daripadanya dilihat cenderung menyebelahi hakim berkenaan,” kata sumber itu kepada FMT, namun enggan mengulas lanjut.
Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat mempengerusikan SPK yang dianggotai sembilan ahli. Antara anggota lain termasuk Presiden Mahkamah Rayuan, Abang Iskandar Abang Hashim; Hakim Besar Malaya, Hasnah Hashim; dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Abdul Rahman Sebli.
Empat ahli itu menjadi anggota SPK berdasarkan jawatan tinggi disandang dalam pentadbiran badan kehakiman.
Pada Februari, Perdana Menteri Anwar Ibrahim melantik hakim kanan Mahkamah Persekutuan Zabariah Yusof sebagai anggota SPK mengikut Seksyen 5(1)(e) Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009.
Tahun lalu, Anwar turut melantik bekas peguam negara, Idrus Harun, bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Zainun Ali, bekas peguam besar Sarawak, Mahmood Abdul Rashid, dan ahli akademik Hartini Saripan menjadi ahlinya.
Sementara itu, seorang pegawai kepada hakim tersebut telah membuat laporan polis dua minggu lalu terhadap seorang wartawan daripada satu portal berita yang menghantar mesej teks, bagi mendapatkan maklum balas hakim tersebut berhubung dakwaan campur tangan itu.
Dalam laporan difailkan di Balai Polis Putrajaya yang dilihat FMT, pegawai berkenaan berkata wartawan itu bertanya mengenai perkara dibincangkan dalam mesyuarat SPK, pada 16 Mei.
“Laporan ini dibuat bagi mendesak pihak berkuasa menyiasat bagaimana maklumat seperti itu boleh bocor,” kata pegawai berkenaan,” kata laporan itu.
Pada Majlis Pembukaan Tahun Perundangan pada Januari lalu, Tengku Maimun memberi amaran sebarang cubaan campur tangan dalam fungsi bebas SPK menjadi kesalahan jenayah.
Katanya, Seksyen 34 Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman menyatakan seseorang yang didapati bersalah mempengaruhi atau cuba mempengaruhi SPK boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak lebih dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
Mengulas berkait pelantikan kehakiman, Tengku Maimun menegaskan hanya SPK dan perdana menteri mempunyai kuasa mencadangkan calon bagi jawatan di mahkamah atasan.
Katanya, sebarang tindakan mengabaikan peruntukan mengikut Akta SPK boleh menyebabkan pelantikan tersebut tidak sah atau bertentangan Perlembagaan.