
Saifuddin dalam jawapan bertulis di Parlimen berkata siasatan turut dibuat mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“PDRM (Polis Diraja Malaysia) sedang meneliti semua aspek bagi memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh, adil dan berlandaskan prinsip kedaulatan undang-undang.
“PDRM turut bekerjasama dengan agensi-agensi berkaitan termasuk Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) bagi melengkapkan siasatan ini.
“Hasil siasatan akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk keputusan selanjutnya sebaik sahaja siasatan selesai,” katanya
Beliau menjawab soalan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) yang meminta penjelasan status penyiasatan laporan polis yang dibuat seorang pegawai hakim Mahkamah Persekutuan.
Laporan itu berkait seorang hakim yang dikatakan disoal JAC kerana didakwa campur tangan dalam hal ehwal kehakiman.
24 Jun lalu, FMT memetik sumber melaporkan hakim kanan berkenaan dipanggil JAC untuk menjawab beberapa dakwaan campur tangan dalam pelantikan pegawai kehakiman yang didakwa berlaku sejak tahun lalu.
Sumber itu memberitahu bahawa berlaku pertikaman lidah dalam mesyuarat JAC, dengan ahli dilaporkan berpecah kepada dua kumpulan satu menyokong hakim terbabit, manakala satu lagi mahu tindakan tegas diambil terhadapnya.
Susulan itu, seorang pegawai kepada hakim terbabit membuat laporan polis terhadap wartawan dari sebuah portal berita yang meminta ulasan hakim tersebut berhubung dakwaan campur tangan.
Pegawai itu berkata, laporan dibuat untuk menggesa pihak berkuasa menyiasat bagaimana maklumat sedemikian boleh dibocorkan.