Jelaskan pemilih Terrirudin ke Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman, kerajaan diberitahu

Jelaskan pemilih Terrirudin ke Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman, kerajaan diberitahu

Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia berkata pelantikan Ahmad Terrirudin Salleh bukannya Rhodzariah Bujang timbul soalan kriteria diguna pakai dalam pemilihan.

Terrirudin
Hakim Ahmad Terrirudin Salleh yang dinaikkan ke Mahkamah Persekutuan pada November tahun lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sebuah kumpulan hak asasi menggesa kerajaan menjelaskan pelantikan Hakim Mahkamah Persekutuan Ahmad Terrirudin Salleh sebagai ahli Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK), mengenepikan seorang hakim yang lebih kanan bagi jawatan tersebut.

Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia (Hakam) berkata keputusan untuk melantik Terrirudin dan bukan Hakim Rhodzariah Bujang, yang dilantik ke Mahkamah Persekutuan pada 2020, menimbulkan persoalan serius mengenai kriteria yang diguna pakai dalam pemilihan itu.

Ia juga menjejaskan prinsip ketelusan dan konsistensi yang sepatutnya mengawal selia pelantikan kehakiman, kata Presiden Hakam M Ramachelvam.

“Mengenepikan senioriti tanpa justifikasi yang telus menyentuh jantung kebebasan kehakiman dan integriti institusi.

“Apabila konvensyen ditetapkan bagi mengawal pelantikan kehakiman ditinggalkan tanpa penjelasan, ia mewujudkan persepsi tidak dapat dielakkan bahawa pertimbangan selain merit, pengalaman dan kriteria objektif sedang dimainkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam dilaporkan bahawa Terrirudin, yang dinaikkan ke Mahkamah Persekutuan pada November tahun lalu, dilantik sebagai ahli SPK, menggantikan Zabariah Yusof yang bersara bulan lalu.

Ramachelvam juga menegaskan bahawa terdapat dakwaan serius terhadap Terrirudin yang masih belum diselesaikan.

Beliau merujuk kepada kebocoran minit mesyuarat SPK di mana seorang hakim yang telah bersara mendakwa Terrirudin campur tangan dalam badan kehakiman.

Beliau berkata pelantikan pesuruhjaya ke SPK – sebuah badan diamanahkan menjaga integriti pelantikan kehakiman – sementara dakwaan sedemikian masih belum diselesaikan adalah membimbangkan dan menetapkan satu duluan yang berbahaya.

“Mana-mana individu yang dilantik ke SPK mestilah bebas daripada sebarang keraguan. Kegagalan untuk menyelesaikan atau menyiasat dakwaan ini sebelum meneruskan pelantikan menimbulkan persoalan besar mengenai ketegasan proses tapisan dan komitmen kerajaan untuk mengekalkan standard integriti kehakiman yang tertinggi.”

Ramachelvam menggesa perdana menteri untuk memberikan penjelasan menyeluruh mengenai keputusan untuk menyimpang daripada konvensyen sedia ada yang melantik hakim Mahkamah Persekutuan paling kanan ke SPK.

Beliau juga menuntut satu siasatan menyeluruh dan segera terhadap dakwaan terhadap Terrirudin, dengan dapatan siasatan itu didedahkan kepada umum.

“Badan kehakiman Malaysia bekerja dengan gigih untuk memulihkan keyakinan awam selepas krisis perlembagaan terdahulu. Pelantikan ini mengancam untuk menjejaskan kemajuan tersebut.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.