
Agak gempar minggu lepas dunia muzik tanah air kita, lebih-lebih lagi dalam kalangan pengikut genre rock, apabila Black (pemain dram) dan Eddie (gitar bass) mengumumkan keluar daripada kumpulan Wings.
Black pernah keluar suatu ketika dahulu dan kemudian sertai semula. Eddie, satu-satunya anggota paling setia yang wajahnya kita sudah lihat terpampang di kulit album sulung Belenggu Irama (1988) lagi, akhirnya angkat kaki juga. Apahal ni?
Berbanding kumpulan Search, yang mana saya bersahabat dengan Amy, kumpulan Wings ini tak seorang pun saya kenal secara rapat. Tetapi ada jugalah dengar cerita-cerita kecil tentang pergolakan dalaman. Cuma, saya mula terhidu bibit-bibit krisis ini sejak melihat beberapa status Facebook Awie beberapa bulan lalu. Sungutan dan luahannya dah beri isyarat ‘lain macam’ dan akhirnya telahan saya nampaknya tepat.
Minggu lepas, patahlah sayap kumpulan yang sangat berpengaruh ini. Sedihnya ini berlaku ketika mereka sedang menuju ke konsert besar sempena ulang tahun ke-40 penubuhan mereka. Kacau! Peminat dah beli tiket. Khabarnya konsert itu tetap ‘on’, meskipun kenyataan media oleh Eddie dan Black menyebut mereka tak akan terlibat. Ini kerana tiket sudah terjual 70%. Haru betul.
Selepas keluarnya Black dan Eddie mengikut jejak Joe yang mendahului mereka sepuluh tahun lalu, Wings yang tinggal hari ini saya kira bukan lagi tulen. Saya tidak hendak mengorek apa yang berlaku pada mereka sebenarnya. Itu hal dalaman. Tapi bila sebuah band besar berpecah, ia bukan sekadar kisah peribadi atau ego. Ia juga cerminan perubahan zaman.
Dulu, muzik rock itu naik atas semangat ‘brotherhood’. Sama-sama korek duit sana-sini untuk berlatih di studio. Makan-minum, kongsi rokok, kongsi bilik – demi mencapai cita-cita. Di situlah lahirnya band-band ini yang kemudian meniti kemasyhuran. Di era internet ini, industri muzik yang dulu bersistem, kini lebih memisahkan. Sesiapa pun boleh buat projek solo atau kumpulan dengan hanya satu akaun YouTube. Persaingan sengit dengan generasi bawah yang seleranya telah jauh berubah juga sedikit menggugat. Hari ini kaset, kulit album dan poster di dinding sudah hilang menandakan perubahan zaman; yang boleh juga membawa maksud perubahan sebuah persahabatan.
Apa makna bila Wings patah sayap sebagaimana Search yang telah berpecah? Ini kerana Search dan Wings adalah dua lambang kejayaan band Melayu dalam sejarah rock dunia. Wow! Tapi betullah, kan? Mungkin peminat yang ‘rock habis’ akan pertikai, kononnya banyak lagi band lain lebih hebat skilnya — tapi hakikatnya Search dan Wings membuktikan, untuk merajai takhta mesti punyai pakej lengkap. Muzik dan gaya. Itu resipinya.
Ada seorang kawan muda bertanya kepada saya.
“Wings saya pernah tengok konsert 30 tahun mereka, memang gempak bang. Search pernah ke sehebat itu?”
Dia budak milenial, tak sempat menyaksikan apa yang kami pernah lalui. Ketika Wings menakluk funfair, Search sudah menjelajah stadium besar. Dan kemudian Wings naik, menyaingi rapat Search, malah pernah mengatasinya. Tetapi bahang rock N’ roll (saya kurang gemar guna istilah rock kapak) waktu itu memang generasi kami yang rasa. Yang tak lagi kemudiannya kami dapat demam begitu!
Seorang kenalan yang rapat dengan Search pernah beritahu saya, “Naiknya Wings sebab mereka ‘duplicate’ sistem pengurusan Search.” Mereka bukan sekadar band tetapi punya pasukan profesional di belakang. Ada jurutera bunyi sendiri, pereka imej sendiri, penata cahaya sendiri. Aziz Bakar urus Search. Ali Bakar urus Wings. Abang dan adik yang cukup terkenal waktu itu. Pengurusan mereka mampu menyusun lengkap rancangan jelajah Malaysia setahun dengan mendapat penaja daripada syarikat korporat besar.
Ketika band lain rancak tumbuh kerana terinspirasikan mereka, Search dan Wings dah main di konsert skala besar. Mereka buktikan ‘budak-budak kita’ pun mampu penuhkan stadium dengan persembahan bertaraf antarabangsa.
Hari ini bila Wings patah sayap, lengkaplah sudah keruntuhan ‘The Big Four’ Search, Wings, XPDC dan MAY. Keempat-empat gergasi ini kini kecil. Bukan tiada, tapi ahlinya tidak lagi tulen. Mereka telah berpecah dan berselerak. Ada dengan ‘line-up’ ini, ada dengan yang itu; memainkan lagu yang sama. Rock Malaysia akhirnya tinggal nostalgia. Rock yang dulunya simbol pemberontakan dengan lagu-lagu keras melawan kini jadi warisan budaya pop Melayu untuk dinyanyikan semula oleh generasi TikTok dengan gaya pembawaan mengikut zaman mereka. Seperti anak-anak muda angkatan kami tahun 80-an menyanyikan lagu pop yeh yeh 60-an. Nyanyi saja tanpa dapat benar-benar meresapi kehangatan tulen zaman itu.
Bila Black dan Eddie keluar Wings, saya tidak hanya melihat sebuah band besar terbubar, tetapi juga tamatnya zaman sebuah band hebat yang bermain lagu ‘bukan ciptaan sendiri’. Wings dan Search adalah angkatan yang banyak bergantung pada komposer luar. Era itu kini tamat.
Yang masih gigih hari ini hanyalah beberapa nama seperti Jo Branko dengan band Barbarik — yang berani menghasilkan album penuh karya sendiri. Selebihnya, obor rock disambung oleh generasi X dan Y yang mampu menghasikan karya sendiri dengan baik seperti Butterfingers, Spider, Exists, Pretty Ugly atau OAG. Memang generasi ini tak segarang senior, tapi mereka jauh lebih berdikari.
Mungkin inilah perjalanan muzik. Ia bukan siapa yang kekal, tapi siapa yang meninggalkan kesan. Wings dan Search mungkin tak lagi tulen, tapi mereka sudah membentuk DNA muzik rock Melayu. Kalau hari ini ada band indie yang berani tulis lagu sendiri dan main di kelab kecil dengan semangat besar, sedikit-sebanyak itu kerana pernah ada Wings dan Search yang pernah menggempur muzik negara sehingga terpaksa dikekang menteri; menggunting rambut mereka ‘live’ di kaca TV. Begitulah pengaruh mereka dalam industri muzik arus perdana.
Ketika artikel ini ditulis, pihak Awie masih membisu. Peminat Wings masih menaruh harapan agar mereka bersatu kembali seperti dulu. Apakah ‘Hikayat Penuh Ranjau’ ini masih punya ‘Harapan’ atau terpaksa menelan hakikat bahawa ini semua adalah ‘Hukum Karma’? Saya juga menunggu. Hidup rock N’ roll!
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.