
DOSM dalam kenyataan berkata, negara merekodkan mata indeks 134.4 berbanding 132.8 pada bulan sama tahun sebelumnya.
Katanya, trend inflasi rendah direkodkan Malaysia sebagai sebuah negara ekonomi terbuka selari dengan negara terpilih yang turut mencatatkan peningkatan lebih perlahan pada Mei seperti Eurozone (1.9%), Korea Selatan (1.9%), Indonesia (1.6%) dan Filipina.
“Ia selaras penurunan harga minyak dunia, ia turut ditunjukkan melalui Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Pengeluaran Tempatan yang mencatatkan penurunan 3.4% pada April.
“Sektor perlombongan penyumbang utama kepada penurunan ini iaitu negatif 17.8% (Mac 2025: -15.0%), ini disebabkan penurunan dalam pengekstrakan petroleum mentah (-19.8%),” katanya.
April lalu, DOSM mengumumkan inflasi Malaysia meningkat dengan kadar perlahan 1.8% pada 2024 daripada 2.5% direkodkan pada 2023 dengan mata indeks mencatatkan 132.8 berbanding 130.4 pada tahun sebelumnya.
Inflasi dunia merekodkan 5.7% pada 2024 daripada 6.6% tahun sebelumnya berdasarkan laporan Tinjauan Ekonomi Dunia Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) April tahun ini.
Selain pengukuhan mata wang ringgit dan penyusutan harga komoditi dunia, inisiatif kerajaan dalam mengawal harga barang dan perkhidmatan serta pemberian subsidi bagi barangan tertentu, membantu mengekang inflasi Malaysia daripada terus meningkat lebih tinggi.
Sementara itu, DOSM berkata kumpulan makanan & minuman menyumbang 29.8% daripada keseluruhan wajaran IHP meningkat perlahan 2.1 peratus pada bulan itu berbanding 2.3% direkodkan April lalu.
“Ini didorong oleh subkumpulan makanan di rumah yang tidak merekodkan sebarang peningkatan pada Mei 2025 berbanding April 2025 yang meningkat 0.5%.
“Meskipun begitu, subkumpulan makanan di luar rumah menunjukkan peningkatan lebih tinggi, 4.4% berbanding 4.3% pada bulan sebelumnya,” katanya.