Dokumen palsu permit pekerja asing, 4 pengarah syarikat direman

Dokumen palsu permit pekerja asing, 4 pengarah syarikat direman

Suspek dipercayai melakukan perbuatan itu sekitar 2023 hingga 2024.

Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam untuk permohonan reman, pagi tadi.
PETALING JAYA:
Lima individu termasuk empat pengarah syarikat direman kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu bagi mendapatkan permit pekerja asing di Selangor.

Semua suspek termasuk seorang pengarah warga Bangladesh yang diwakili peguam bela direman empat hingga 27 Jun selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret 2 Shah Alam, pagi tadi.

Sumber berkata, empat suspek lelaki dan seorang wanita berusia antara 20 hingga 60-an ditahan antara 3 hingga 6 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor.

Katanya, semua suspek melalui syarikat masing-masing dipercayai melakukan perbuatan tersebut sekitar 2023 hingga 2024.

“Siasatan awal mendapati semua suspek mengemukakan dokumen permohonan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 kepada Jabatan Imigresen Selangor yang mengandungi butir matan palsu dengan niat memperdayakan Jabatan Imigresen Selangor,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Hairuzam Mohmad Amin@Hamim, ketika dihubungi mengesahkan penahanan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, tiga lagi individu yang turut ditahan semalam dilepaskan atas faktor kesihatan selepas keterangan masing-masing diambil.

“Mereka dilepas masing-masing dengan jaminan RM10,000 dengan dua orang penjamin,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.