DBKL sasar 70% penduduk guna pengangkutan awam menjelang 2040

DBKL sasar 70% penduduk guna pengangkutan awam menjelang 2040

Datuk bandar berkata DBKL mungkin menyediakan insentif bagi meningkatkan kepadatan penduduk di sekitar zon transit stesen LRT atau MRT.

MRT
Datuk Bandar Maimunah Sharif berkata Pelan Tempatan Kuala Lumpur memfokuskan rangkaian pengangkutan awam di bandar ini.
KUALA LUMPUR:
Pelan Tempatan Kuala Lumpur (PTKL) menyasarkan 70% penduduk menggunakan pengangkutan awam menjelang 2040, kata Datuk Bandar Maimunah Sharif.

Ini sejajar matlamat utama PTKL 2040 untuk menjadikan Kuala Lumpur bandar “hijau” menyeluruh. DBKL secara khusus menyasarkan pelaksanaan sistem mobiliti rendah karbon yang cekap di seluruh bandar.

Dengan 191 inisiatif digariskan dalam pelan itu, tema “Bandar untuk Semua” PTKL memfokuskan kemampanan, dengan pembangunan dan penyelenggaraan ruang hijau menjadi konsep utama perancangan ruangnya.

Maimunah dalam taklimat media berkata, DBKL mungkin menyediakan insentif untuk meningkatkan kepadatan penduduk di sekitar zon transit stesen LRT atau MRT.

“Ini keadaan biasa di Jepun, di mana rakyat bekerja, tinggal dan bermain di sekitar zon transit. Ini membantu mengurangkan kesesakan dan menghala kita ke arah bandar rendah karbon.”

Kebanyakan pengezonan PTKL 2040 berpusat pada penyelarasan rangka kerja sistem kereta api Kuala Lumpur, khasnya rangkaian MRT3.

PTKL bertujuan mewujudkan rangkaian pengangkutan untuk orang ramai bergerak dari sebuah tempat ke tempat lain pada jarak berjalan kaki kurang 400m.

Timbul pelbagai kebimbangan orang ramai berhubung kebolehcapaian sistem pengangkutan awam Kuala Lumpur sejak beberapa tahun ini.

Badan pemikir pengangkutan, My Mobility Vision mengenal pasti sambungan pertama dan terakhir antara isu utama yang mendorong orang ramai menggunakan kenderaan persendirian.

Bulan lalu, Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi dilaporkan berkata, penggunaan pengangkutan awam di Malaysia masih rendah, iaitu sekitar 25%, justeru beliau mencadangkan peralihan sikap pengguna melalui gabungan sistem pengangkutan awam boleh dipercayai dan kempen kesedaran komprehensif.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.