
Kempen Bangun KL menawarkan kopi lebih murah untuk mereka yang keluar awal. Ia boleh disifatkan langkah kecil yang positif.
Namun, hakikatnya ibu negara bukan sekadar memerlukan dorongan kecil. Ia memerlukan pembaikan menyeluruh.
Ada sesuatu yang segar tentang inisiatif ini.
Ketika perbincangan tentang trafik biasanya hanya berkisar pada pembinaan jejambat atau lebuh raya baharu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama Zus Coffee mencuba pendekatan berbeza.
Mereka cuba mengubah tingkah laku manusia, bukan sekadar menambah infrastruktur fizikal.
Idea ini mudah: galak orang keluar lebih awal supaya aliran trafik dapat diagihkan, mengurangkan kesesakan antara 7 pagi hingga 9 pagi dan beri ganjaran berupa diskaun 50% untuk kopi.
Ini adalah contoh ‘nudge theory’ dalam mobiliti bandar, satu pendekatan yang jarang digunakan dalam pengurusan trafik oleh pihak berkuasa tempatan. Usaha ini wajar dihargai.
Namun, ada satu realiti yang kurang disentuh oleh kempen ini: ramai warga KL sebenarnya sudah pun keluar awal.
Mereka sudah berada di jalan raya seawal 6.30 pagi — bukan kerana mahu kopi murah, tetapi kerana pengalaman mengajar jika keluar 7.30 pagi, mereka mungkin hanya sampai 9.15 pagi.
Penyesuaian ini telah lama berlaku secara senyap di ribuan isi rumah di Cheras, Kepong, Ampang dan Shah Alam.
Jika ini benar, maka Bangun KL tidak mengubah tingkah laku. Ia sekadar memberi subsidi kepada tingkah laku yang sudah pun wujud.
Itu bukan ‘dorongan kecil’. Itu lebih kepada kempen pemasaran yang dibungkus sebagai dasar awam.
Persoalan sebenar ialah: mengapa jalan raya masih sesak walaupun orang sudah menyesuaikan diri?
Jawapannya bukan pada sikap pengguna, tetapi pada kelemahan struktur sistem itu sendiri.
Sebagai contoh, Laluan LRT Kelana Jaya mencatatkan 16 gangguan besar pada 2025 — lebih separuh daripada keseluruhan gangguan rel dan kira-kira satu pertiga daripadanya berlaku pada waktu puncak pagi.
Siasatan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat juga dilancarkan pada Februari 2026 susulan beberapa gangguan waktu puncak.
Walaupun secara keseluruhan sistem menunjukkan peningkatan, itu tidak banyak membantu apabila laluan paling sibuk juga paling terdedah kepada masalah.
Dengan jumlah penumpang harian mencecah 1.31 juta pada 2025, satu gangguan pada waktu puncak bukan sekadar menyusahkan ratusan orang — ia memaksa puluhan ribu orang beralih ke jalan raya yang sudah pun sesak.
Apabila ini berlaku, tiada alternatif yang benar-benar berkesan.
Bas perantara disediakan, tetapi kapasiti bas jauh lebih kecil daripada tren. Tambahan pula, bas ini menggunakan jalan yang sama sesak, menyebabkan ia lambat, tidak mencukupi dan sering terlalu penuh.
Tambang e-hailing pula melonjak tinggi, melebihi kemampuan ramai pada waktu pagi hari bekerja.
Akhirnya, pengguna kembali menggunakan kereta sekali gus menambah lagi beban kepada jalan raya yang sudah tepu.
Inilah realiti sistem yang dihadapi setiap pagi.
Bukan sistem yang hanya perlukan insentif kopi untuk berfungsi lebih baik, tetapi sistem yang sudah lemah dari segi struktur dan hanya bertahan dengan penyesuaian pengguna.
Beban paling besar sebenarnya ditanggung oleh mereka yang bergantung sepenuhnya kepada pengangkutan awam.
Mereka tiada aplikasi untuk tebus diskaun. Kehidupan harian mereka bergantung sepenuhnya pada sama ada bas tiba tepat waktu dan platform tren selamat ketika waktu puncak.
Bas yang sepatutnya membantu mereka pula terperangkap dalam trafik yang sama walaupun ada lorong khas, ia sering digunakan oleh kenderaan persendirian.
Lorong itu wujud, tetapi penguatkuasaan tidak.
Apa yang diperlukan bandar ini ialah perbincangan baharu — bukan sekadar insentif, tetapi pembaharuan struktur.
Contohnya:
- Waktu kerja anjal diselaraskan antara bandar dan majikan besar untuk mengurangkan tekanan waktu puncak
- Lorong bas khas yang benar-benar dikuatkuasakan dan kekerapan perkhidmatan yang terjamin
- Subsidi pengangkutan awam digunakan untuk menarik lebih ramai pengguna, bukan sekadar mengekalkan operasi
Ini bukan idea radikal sebaliknya langkah logik bagi bandar yang telah lama melabur dalam pengangkutan awam tetapi belum memperbaiki keadaan yang menyebabkan orang masih memilih kereta.
Bangun KL sebenarnya membuka ruang kepada perbincangan ini. Tetapi diskaun 50% untuk kopi, walaupun berniat baik, tidak cukup untuk menyelesaikan masalah besar ini.
Bandar ini sebenarnya sudah ‘bangun’ sejak lama — rakyat sudah keluar lebih awal, menanggung kos sistem yang tidak mampu mengikut pertumbuhan bandar.
Persoalannya sekarang: adakah institusi yang bertanggungjawab bersedia untuk berusaha sama seperti rakyat?
Bangunlah KL. Tetapi kali ini, biarlah sistem pula memainkan peranannya.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.