Amang seksual, rogol pelajar, bekas pengetua dipenjara 15 tahun

Amang seksual, rogol pelajar, bekas pengetua dipenjara 15 tahun

Tertuduh didapati bersalah atas 13 pertuduhan termasuk berkomunikasi secara seksual dan amang seksual terhadap mangsa ketika itu berusia 16 tahun.

kompleks mahkamah kuala terengganu
Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu mendapati Rosli Abd Rahman, 60, gagal menimbulkan keraguan munasabah.
PETALING JAYA:
Bekas pengetua dijatuhi hukuman penjara 15 tahun selepas Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu mensabitkan kesalahan melibatkan 13 pertuduhan berkomunikasi secara seksual, amang seksual, dan merogol pelajarnya, antara November 2020 hingga November 2021.

Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli membuat keputusan terhadap tertuduh, Rosli Abd Rahman, 60, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa berkomunikasi secara seksual dengan mangsa ketika itu berusia 16 tahun. Tertuduh turut berdepan pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Kuala Terengganu dan Marang, lapor Berita Harian.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan lima pertuduhan mengikut Seksyen 376 (2) (f) Kanun Keseksaan dan empat pertuduhan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTKK) 2017.

Dia turut didakwa membabitkan dua pertuduhan mengikut Seksyen 11 (1) (a), satu pertuduhan mengikut Seksyen 14 (c) dan satu pertuduhan Seksyen 14 (d) AKSTKK 2017.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara satu tahun bagi kesalahan mengikut Seksyen 11 (1) (a) dan lima tahun penjara bagi kesalahan di bawah Seksyen 14(a), 14(c) dan 14(d) AKSTKK 2017.

Bagi setiap pertuduhan bawah Seksyen 376 (2)(f), tertuduh dijatuhi hukuman penjara 15 tahun.

Namun, tertuduh hanya menjalani hukuman penjara 15 tahun selepas mahkamah mengarahkan ia berjalan serentak.

Mahkamah turut membenarkan penangguhan hukuman tertuduh, sementara menunggu rayuan dan jaminan dinaikkan sebanyak RM40,000.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noradila Ab Latif, manakala tertuduh diwakili peguam Abdul Rahman Razak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.