3 hari padam kebakaran besar di Johor

3 hari padam kebakaran besar di Johor

Ketua Zon 1 JBPM Johor Zaipulbahri Mat Rusok berkata operasi pemadaman berdepan cabaran besar disebabkan struktur kawasan kebakaran dipenuhi tong minyak besar dan angin kencang.

kebakaran masai
Keadaan di kawasan penyimpanan lori dan minyak di Jalan Cenderai 27, Taman Kota Puteri, Masai selepas kebakaran dipadamkan sepenuhnya.  (Gambar JBPM Johor)
PETALING JAYA:
Kebakaran besar di kawasan penyimpanan lori dan minyak di Jalan Cenderai 27, Taman Kota Puteri, Masai berjaya dipadamkan sepenuhnya dalam tempoh tiga hari.

Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Johor, Zaipulbahri Mat Rusok, berkata operasi pemadaman yang bermula Sabtu lalu tamat 2.35 petang semalam.

“Operasi tersebut melibatkan kekuatan 37 anggota dari lapan balai bomba, termasuk Pasir Gudang, Johor Jaya, Tebrau, Kota Tinggi, Larkin, PBS Mount Austin, PBS Ulu Tiram dan Pasukan Khas Hazmat JBPM Johor,” katanya menurut Sinar Harian.

Beliau berkata, operasi itu berdepan cabaran besar disebabkan struktur kawasan kebakaran dipenuhi tong minyak besar dan angin kencang menyebabkan api cepat merebak.

“Kebakaran besar ini akhirnya berjaya dipadamkan sepenuhnya selepas kerja-kerja pemadaman dan ‘overhaul’ dijalankan.

“Kebakaran melibatkan kawasan seluas kira-kira 700 x 700 kaki persegi dan memusnahkan hampir 92% kawasan sebelum dipadamkan sepenuhnya.”

Sabtu lalu, media melaporkan tiga kilang dan 15 kenderaan musnah sepenuhnya dalam kebakaran besar di Kawasan Perindustrian Kota Puteri membabitkan kilang penyimpanan minyak hitam terpakai, kilang pemprosesan sabun dan kawasan parkir lori seluas kira-kira 1,000m persegi.

Seorang pegawai bomba turut dilaporkan cedera ringan ketika menjalankan tugas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.