UiTM kecam tindakan petugas hina Agong

UiTM kecam tindakan petugas hina Agong

Naib Canselor Shahrin Sahib@Sahibuddin ulas tindakan petugas yang turut disyaki menghina PM selain pertikai pelantikan ketua polis negara baharu.

uitm
UiTM berkata pihaknya tidak akan kompromi sebarang bentuk pelanggaran etika, disiplin serta perundangan dalam kalangan warga kerja kampus. (Gambar UITM)
PETALING JAYA:
Universiti Teknologi MARA (UiTM) mengecam tindakan seorang petugas dipercayai membuat hantaran media sosial berbaur penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Naib Canselor UiTM Shahrin Sahib@Sahibuddin, berkata pihaknya dimaklumkan individu yang sama ketika ini turut disiasat polis kerana didakwa menggunakan kata-kata kesat terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim selain mempertikai pelantikan Khalid Ismail sebagai ketua polis negara baharu.

“Pihak universiti (UiTM) tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang bentuk pelanggaran prinsip hormat-menghormati, khususnya membabitkan institusi raja, agama, bangsa, dan kepimpinan negara.

“UiTM akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa untuk memastikan siasatan dijalankan secara telus dan berlandaskan undang-undang,” katanya menurut Bernama.

Shahrin berkata, pihaknya tidak akan berkompromi sebarang bentuk pelanggaran etika, disiplin serta perundangan dalam kalangan warga kerja kampus dan menyerahkan mereka kepada pihak polis untuk dikenakan tindakan sewajarnya.

Sehubungan itu, Shahrin mengingatkan warga universiti agar bertanggungjawab menggunakan media sosial, mematuhi undang-undang negara serta memelihara keharmonian masyarakat dan imej universiti.

“Sebagai sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang berteraskan nilai integriti, profesionalisme, dan patriotisme, UiTM bertekad mempertahankan maruah universiti serta tidak berkompromi terhadap mana-mana tindakan yang mencemarkan nama baik universiti, institusi raja mahupun negara,” katanya.

Terdahulu, polis membuka kertas siasatan terhadap seorang pemilik akaun Facebook yang dilaporkan membuat hantaran berbaur penghinaan terhadap Sultan Ibrahim baru-baru ini.

Polis telah menerima 10 laporan mengenai tindakan suspek dan telah menahan reman lelaki berkenaan selama empat hari untuk siasatan lanjut di bawah kendalian Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.