
Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, berkata semua 57 kakitangan Mavcom akan ditawarkan jawatan dalam CAAM berdasarkan pengalaman dan kelayakan mereka.
“Kami memberi jaminan kepada semua pihak berkepentingan, peralihan ini akan dijalankan dengan teratur dan lancar. Setiap kakitangan akan dimaklumkan peranan baharu mereka dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media di kementeriannya di sini.
Menurutnya, penggabungan itu akan meletakkan CAAM pihak berkuasa kawal selia tunggal untuk industri penerbangan di Malaysia, meliputi aspek teknikal, keselamatan dan ekonomi yang tidak membabitkan kos tambahan kepada penumpang.
Sebaliknya, beliau berkata, rasionalisasi itu akan memberikan penjimatan kos ketara, yang akan digunakan untuk menarik dan mengekalkan kakitangan teknikal berkelayakan, khasnya dalam bidang kritikal seperti kawalan trafik udara serta keselamatan penerbangan.
Katanya, sebahagian besar hasil ini datang daripada caj navigasi udara dikenakan ke atas syarikat penerbangan menggunakan ruang udara Malaysia, khasnya syarikat penerbangan asing, sejak Januari lalu.
“Ia akan memberi penjimatan RM150 juta hingga RM200 juta kepada kerajaan setiap tahun,” katanya sambil menambah CAAM kini mempunyai 1,430 pekerja.
Loke berkata, keputusan kerajaan memberi CAAM status badan berkanun dengan emolumen berasingan akan menjadikan pengawal selia itu bebas dari segi kewangan.
“Ini bukan sekadar penggabungan. Ia langkah asas ke arah mengukuhkan kedudukan CAAM sebagai pengawal selia lebih berdaya saing, berdaya tahan dan progresif selaras amalan terbaik antarabangsa.”
Menurutnya, anggaran pendapatan CAAM tahun ini ialah RM420 juta, meningkat daripada RM100 juta kepada RM110 juta setahun sebelum ini.
“Sehingga Mei tahun ini saja, CAAM mengutip RM150 juta, iaitu lebih daripada jumlah pendapatannya sepanjang tahun lepas.”
Katanya, pembaharuan ini perlu susulan penurunan taraf Malaysia oleh Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat daripada Kategori 1 kepada Kategori 2, sebahagiannya disebabkan ketidakupayaan CAAM menawarkan gaji kompetitif pasaran kepada kakitangan teknikal.
“Dengan model kewangan baharu ini, kami boleh menawarkan pakej lebih baik dan mengekalkan bakat terbaik.”
Kes curi kabel ECRL
Berhubung kebimbangan Malaysia Rail Link Sdn Bhd bahawa kecurian kabel boleh menjejaskan perancangan dan jadual operasi tren projek Laluan Rel Pantai Timur, Loke berkata, beliau sudah menghubungi Kementerian Dalam Negeri serta polis.
Beliau meminta polis mengambil tindakan tegas terhadap pihak terbabit, selain turut mengambil kira keselamatan awam dan negara.
“Kecurian kabel bukan berlaku di sini saja. KTM turut mengalami kelewatan akibat kecurian kabel.”