Guna pendekatan ‘seluruh kerajaan’ tangani isu graduan TVET

Guna pendekatan ‘seluruh kerajaan’ tangani isu graduan TVET

Bekas Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata kementerian perlu wujud laluan terus daripada latihan kepada pekerjaan.

Charles Santiago
Charles Santiago berkata kerajaan perlu tingkat kemahiran pelajar TVET supaya selari keperluan industri.
PETALING JAYA:
Bekas Ahli Parlimen Klang menggesa kementerian dan kerajaan negeri mencontohi pendekatan Kementerian Perladangan dan Komoditi yang mengutamakan graduan tempatan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berbanding pekerja asing.

Dalam hantaran di platform X, Charles Santiago berkata usaha itu perlu melibatkan ‘keseluruhan kerajaan’, di mana kementerian bertanggungjawab mewujudkan laluan langsung daripada latihan kepada pekerjaan.

“Inilah caranya untuk kita kurangkan kebergantungan kepada pekerja asing, membina kemahiran, dan menjadikan TVET sebagai laluan yang menarik dan menjanjikan kepada golongan belia. Inilah masa untuk kerajaan menunjukkan kepimpinan.

“Ini juga peluang untuk meningkatkan kemahiran lebih ramai pelajar TVET secara langsung mengikut keperluan industri,” katanya.

Santiago juga mencadangkan Kabinet mewajibkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan vendor mereka menggaji graduan TVET, serta menetapkan gaji minimum RM3,000.

Semalam, Menteri Perladangan dan Komoditi, Johari Ghani berkata syarikat perlu mengemukakan bukti kepada kementeriannya bahawa mereka telah berusaha menggaji graduan TVET sebelum dibenarkan mengambil pekerja asing.

“Kita kini berdepan situasi di mana ramai pemain industri tidak mahu menggaji graduan yang telah menamatkan latihan mereka.

“Mereka enggan memberi peluang kepada pelajar ini mendapatkan pengalaman praktikal kerana lebih memilih jalan mudah,” katanya.

Johari berkata kementeriannya menyasarkan untuk melatih kira-kira 250 pelajar TVET setiap tahun bagi sektor perladangan, dan menempatkan mereka mengikut keperluan khusus industri.

Beliau berkata sektor perladangan ketika ini bergantung kepada hampir 260,000 pekerja asing.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.