ART belum diratifikasi, AS fokus perjanjian dengan negara Asean

ART belum diratifikasi, AS fokus perjanjian dengan negara Asean

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Johari Ghani berkata analisis kos dan manfaat perjanjian perdagangan itu sedang dijalankan.

Johari Ghani
Johari Ghani berkata satu kaukus akan dibentuk bagi meneliti perjanjian perdagangan berkenaan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Perjanjian perdagangan ditandatangani Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) pada Oktober lalu masih belum berkuat kuasa kerana Washington kini menumpukan mendapatkan negara-negara Asean meratifikasi perjanjian serupa, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Johari Ghani.

Beliau berkata AS masih belum meratifikasi perjanjian berkenaan dengan Malaysia kerana mengurus rundingan dan kelulusan perjanjian perdagangan seumpama itu dengan negara Asean lain.

“AS belum meratifikasi perjanjian dengan kita. Mereka sedang mendapatkan negara Asean menandatangani perjanjian serupa,” katanya ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat.

Johari mengulangi pendiriannya untuk membentuk satu kaukus Parlimen bagi meneliti secara terperinci perjanjian yang dikenali sebagai ART itu.

Katanya, Ahli Parlimen yang tidak termasuk dalam kaukus itu tetapi berminat untuk terlibat juga akan dijemput.

Beliau turut menyatakan kesediaan menghadiri pendengaran Jawatankuasa Pilihan Parlimen berkaitan sekiranya dipanggil.

Ketika ditanya sama ada analisis kos dan manfaat perjanjian itu telah dijalankan, Johari berkata kajian berkenaan sedang dilaksanakan, namun dijangka mengambil masa antara enam hingga 12 bulan untuk disiapkan.

Menurutnya, kajian itu juga akan meneliti hubungan perdagangan Malaysia dengan dua ekonomi terbesar dunia, iaitu AS dan China, bagi memberi gambaran lebih jelas kepada Ahli Parlimen mengenai implikasi perjanjian tersebut.

Johari berkata dalam tempoh 10 tahun dari 2015 hingga 2025, Malaysia mencatat lebihan dagangan sebanyak RM518 bilion dengan AS, termasuk RM98 bilion pada 2025 sahaja, apabila nilai eksport ke negara itu melebihi import.

Sebaliknya, beliau berkata Malaysia mengalami defisit dagangan yang besar dengan China dalam tempoh sama, mencecah RM606 bilion, dengan jurang meningkat kepada RM146 bilion pada 2025.

Malaysia dan AS menandatangani perjanjian perdagangan itu semasa lawatan Presiden Donald Trump ke Kuala Lumpur bagi menghadiri Sidang Kemuncak Asean tahun lalu.

Di bawah perjanjian itu, AS mengekalkan tarif timbal balik sebanyak 19% ke atas barangan Malaysia, dengan beberapa produk menikmati tarif sifar menerusi senarai perdagangan rakan sejajar.

Sebagai balasan, Malaysia bersetuju memberikan akses pasaran keutamaan kepada eksport industri AS serta tidak mengenakan larangan atau kuota ke atas eksport mineral kritikal atau nadir bumi ke AS.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.