
Majlis pelancaran disempurnakan Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi, semalam.
Klinik bergerak itu menyediakan rawatan selepas waktu kerja untuk kes bukan kritikal selain bertujuan mengurangkan kesesakan di Jabatan Kecemasan dan Trauma HSAJB.
Ia akan beroperasi dari 8 malam hingga 12 tengah malam, yang menawarkan konsultasi perubatan, ubat-ubatan asas dan sijil perubatan pada kadar subsidi yang setara dengan hospital kerajaan.
Premis itu juga menggunakan sistem pengurusan klinik digital KPJ (CMS), yang memastikan pengurusan pesakit yang selamat, cekap dan terjamin.
Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan, berkata dengan meluaskan akses kepada penjagaan selepas waktu kerja, pihaknya membantu mengurangkan kesesakan di HSAJB sambil memberi khidmat kepada masyarakat dengan lebih berkesan.
Katanya, ini juga kali pertama klinik bergerak KWAN beroperasi dalam persekitaran hospital awam di Johor, yang mencerminkan kekuatan kerjasama dengan rakan kongsi kerajaan.
“Ia adalah sebahagian komitmen sistem kesihatan kami untuk memberikan lebih banyak perkhidmatan,” katanya dalam kenyataan.
Mula beroperasi pada 2017, perkhidmatan klinik bergerak KWAN di Johor kini disokong dua unit mudah alih yang terus berkhidmat untuk komuniti di lokasi sedia ada seluruh negeri.
Dengan penambahan HSAJB sebagai pusat perkhidmatan baharu, klinik bergerak itu kini mencapai lebih ramai pesakit termasuk mereka yang mendapatkan rawatan di hospital awam.
Sehingga kini, KWAN merawat lebih 2.2 juta pesakit di seluruh negara melalui rangkaiannya, termasuk lapan klinik statik, lapan pusat dialisis dengan 192 mesin dan sembilan unit mudah alih.
Berasaskan prinsip waqaf Islamik, KWAN adalah inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang disokong oleh sumbangan zakat dan wakaf amal. Ia menyediakan perkhidmatan perubatan berkualiti kepada komuniti memerlukan dengan kos minimum tanpa mengira latar belakang, bangsa atau agama.
KPJ Healthcare kekal komited mengembangkan model KWAN di seluruh negara sebagai sebahagian misinya yang lebih luas untuk mengukuhkan sistem penjagaan kesihatan Malaysia dan memastikan akses kepada semua.
Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif CSR KPJ Healthcare, layari https://kpjhealth.com.my/CSR.